AKPK tidak pernah lantik ejen

Categories

Artikel dari Sinar Harian12 Februari 2014

 

KUALA LUMPUR - Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) tidak pernah melantik ejen untuk memberi nasihat kepada orang ramai yang ada masalah kewangan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri berkata sehubungan itu, orang ramai perlu berhatihati apabila didatangi mana-mana individu supaya tidak tertipu.

 

“Ada juga sesetengah pihak menggunakan AKPK, mereka menipu orang ramai dengan mengatakan mereka sebagai ejen. AKPK sebenarnya tiada ejen di luar sana, sebaliknya mereka perlu datang ke pejabat AKPK sendiri.

 

"Jadi tiada sebab untuk seseorang mengaku jadi ejen dari AKPK,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan pertemuan dan penerangan di pejabat AKPK, di sini, semalam.

 

Katanya, semua nasihat dan khidmat yang ditawarkan AKPK adalah secara percuma supaya dapat membantu orang ramai yang bermasalah dari segi kewangan.

 

“Setiap negeri ada pejabat AKPK kecuali di Perlis yang bergabung di Alor Setar dan di Negeri Sembilan pejabatnya dipanggil sebagai pejabat kaunseling.

 

“Penerangan yang diberikan AKPK terutamanya pendidikan mengenai pengurusan kewangan melibatkan sebelum seseorang itu diisytiharkan bankrap, ada masalah dengan kewangan serta berkenaan pinjaman,” kata beliau.

 

Sementara itu ketika ditanya berhubung statistik peningkatan orang ramai yang hadir ke AKPK sama ada membimbangkan, beliau bagaimanapun memberitahu ia perlu dilihat dari segi positif.

 

“Saya lihat dua aspek iaitu positif kerana orang ramai sudah tahu yang mereka boleh datang ke AKPK bagi mendapatkan bantuan nasihat dan kaunseling pengurusan kewangan. Mereka tahu untuk menggunakan AKPK sebuah agensi kerajaan untuk membantu mereka.

 

“Satu lagi aspek memang kita nampak mungkin peningkatan itu menunjukkan secara negatifnya ramai yang berdepan dengan masalah kewangan, tapi dari dulu pun sudah ramai orang berhutang, tapi dengan ada AKPK ini, mereka akan dapat maklumat,” katanya.