AKPK bantu rakyat urus kewangan

Categories

Artikel dari Berita Harian19 Februari 2014

 

Kami merujuk kepada artikel saudara Mohd Taufiq Mahmud mengenai ‘Didik rakyat urus kewangan’ dalam ruangan Forum BH.

 

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebuah institusi milik penuh Bank Negara Malaysia (BNM), telah ditubuhkan untuk mempromosikan kesejahteraan kewangan dalam kalangan pengguna di Malaysia.

 

Selaras dengan visi AKPK, ‘Jadikan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup’, agensi ini menyediakan khidmat nasihat kewangannya secara percuma kepada semua pengguna.

 

Beban kenaikan kos

Beban kenaikan kos sara hidup sudah tentulah memberi sedikit sebanyak impak kepada pengguna terutama golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

 

Dalam keadaan ini, AKPK boleh membantu rakyat Malaysia untuk menjadi pengguna yang berpengetahuan serta dapat mengawal kedudukan kewangan mereka termasuk dalam hal pengurusan kredit. AKPK menyediakan perkhidmatan seperti berikut:

 

i) Kaunseling kewangan

Kaunseling diberi kepada individu secara berseorangan dan bersemuka di mana pegawai kaunselor AKPK akan:

•Memberi khidmat nasihat kewangan termasuk tentang bajet, pengurusan wang dan masalah pinjaman;

•Membantu pelanggan menganalisis status kewangan serta mengenal pasti jalan-jalan pilihan untuk memulihkan kedudukan kewangan mereka.

 

ii) Program Pengurusan Kredit (PPK) atau Debt Management Programme (DMP)

Melalui program ini, AKPK membantu individu-individu untuk menguruskan pinjaman mereka dengan penyedia-penyedia kredit (credit providers).

 

Kedudukan kewangan mereka akan disemak dan seterusnya pelan pembayaran balik pinjaman mereka disediakan melalui perundingan dengan penyedia kredit berkenaan.

 

Kriteria kelayakan PPK adalah seperti berikut:

•Hanya pinjaman kepada individu (bukan pinjaman perniagaan);

•Mempunyai baki pendapatan yang positif selepas menolak kos perbelanjaan;

•Kemudahan pinjaman yang diperoleh daripada senarai penyelia kredit yang diluluskan oleh BNM sahaja;

•Jumlah kesemua pinjaman yang sedia ada tidak melebihi RM2 juta;

•Tidak berada di bawah tindakan undang-undang tahap lanjut;

•Bukan seorang bankrap.

 

Sejak AKPK ditubuhkan sehingga November 2013, seramai 244,517 orang individu telah mendapat khidmat kaunseling AKPK dan daripada jumlah ini, 99,347 orang telah menyertai PPK ini.

 

 

iii) Pendidikan Kewangan

Pendidikan kewangan AKPK ini bertujuan meningkatkan ilmu mengurus kewangan peribadi bagi mengelak orang ramai daripada terjerumus ke dalam belenggu hutang. Ia mengandungi program pendidikan tentang kemahiran asas pengurusan wang termasuk ‘tips’ menggunakan kredit secara bertanggungjawab dan seterusnya pengurusan kewangan secara bijak.

 

Melalui pendidikan kewangan ini, AKPK telah mengeluarkan beberapa buah buku mengenai pengurusan kewangan. Buku Celik Wang (Money Sense) memberi pengetahuan tentang perancangan kewangan termasuk memberi tunjuk ajar tentang menambahkan nilai harta bersih anda.

 

Ajar asas-asas meminjam

Buku POWER! Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER! Managing Your Debts Efectively) pula mengajar pengguna tentang asas-asas meminjam, penggunaan kad kredit, membeli rumah, kereta dan sebagainya.

 

Buku komik pengurusan wang yang berkonsepkan bacaan ringan dan santai berdasarkan ‘Guru Q’ (Old Master Q) merupakan sebuah lagi buku terbitan AKPK untuk mengingatkan pembaca supaya menjadi pengguna yang bijak. Kesemua buku terbitan AKPK ini boleh diperoleh dalam Bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris.

 

AKPK melaksanakan program pendidikan kewangannya melalui seminar/bengkel, ‘roadshows’, pameran dan promosi melalui media massa dan taklimat di seluruh negara.

 

Untuk mendapatkan taklimat pendidikan kewangan AKPK, sila layari laman web AKPK www.akpk.org.my. Orang ramai juga boleh menghubungi AKPK melalui saluran-saluran berikut:

11 pejabat cawangan dan 10 pejabat kaunseling kredit AKPK di seluruh negara;

•Talian bebas tol AKPK Infoline 1800 88 2575;

•Lamanweb – www.akpk.org.my

•Facebook – AKPKofficial;

•Twitter – AKPK_POWER

•YouTube – AKPKTVC