Ramai belum kenal AKPK

Categories

Artikel dari Sinar Harian20 Februari 2014

 

Walaupun sudah tujuh tahun ditubuhkan, masih ramai rakyat Malaysia tidak tahu mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang bertanggungjawab membantu memberi khidmat nasihat kewangan kepada pengguna secara percuma.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Koid Swee Lian berkata; AKPK boleh memainkan peranan untuk menaikkan keupayaan kewangan pengguna terutama dengan kenaikan kos sara hidup kini.

 

“Peningkatan harga barang menjadi kebimbangan pengguna sejak awal tahun ini tetapi setiap individu bertanggungjawab terhadap situasi kewangan masing-masing.

 

“AKPK memberi pendidikan dan kaunseling kewangan serta perkhidmatan pengurusan hutang secara percuma kepada pengguna selain boleh membantu peminjam yang terbeban akibat hutang untuk menyusun semula pinjaman mereka,” katanya dalam jamuan penghargaan media oleh AKPK di Kuala Lumpur, semalam.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, kekurangan kesedaran terhadap khidmat disediakan AKPK tidak menghalang agensi itu memberi bantuan kepada 1.45 juta orang yang mendapatkan nasihat AKPK berhubung pengurusan kewangan masing-masing.

 

Menurut Swee Lian, agensi itu menyasarkan membantu dua juta orang tahun ini yang diyakini akan dicapai melalui lebih banyak hebahan media.

 

Dalam majlis itu, AKPK turut menyampaikan sijil kepada lima pengguna yang berjaya mengubah situasi kewangan mereka dengan mengikuti program disediakan AKPK.