Periksa status kewangan pasangan?

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia27 Februari 2014

 

Kita tidak boleh menafikan bahawa berhutang adalah satu keperluan untuk memastikan kelancaran dalam kehidupan seharian. Tanpanya, banyak perkara yang diingini sukar dicapai.

 

Sebahagian daripada kita berhutang untuk memiliki rumah, kereta, membuat pelaburan, melancong, mengadakan walimatul urus dan lain-lain. Semuanya memerlukan wang yang banyak serta dalam tempoh yang singkat.

 

Situasi itu secara tidak langsung menjadikan keperluan berhutang seperti satu kemestian dan lama kelamaan ia telah membudaya di dalam kehidupan seharian, meskipun menyedari amalan itu mampu mengundang risiko diisytiharkan muflis jika gagal melunaskannya.

 

Dalam menangani risiko diisytharkan muflis dan keperluan berhutang, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Allah SWT dalam surah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. (al-Baqarah: 282)

 

"Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.

 

"Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar) dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu."

 

Berdasarkan surah itu, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhutang. Malah, Islam turut menyediakan garis panduan bagi mengelakkan budaya itu membebankan diri dan keluarga masing-masing di masa depan.

 

Dengan kata lain, Islam mengharuskan pinjaman dan berhutang bagi mereka yang memerlukannya. Namun demikian, ia tidak boleh dijadikan sebagai cara dan wasilah untuk bermewah-mewahan dan bermegah-megah atau dibuat dengan berleluasa tanpa keperluan dan asas yang kukuh.

 

Oleh itu, tidak hairanlah, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah berulang kali menyeru orang ramai agar lebih berhemah dalam mengurus kewangan dan hutang masing-masing.

 

"Perkhidmatan pengurusan kewangan kami ialah untuk membantu setiap individu belajar mengawal semula keadaan kewangan dan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan mengalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten serta teratur.

 

"Bagaimanapun, kami bukan mengajar orang ramai untuk jadi kedekut atau berjimat keterlaluan tetapi mahu memberikan mereka ketenangan hidup, khususnya di masa persaraan," kata Ketua Komunikasi Korporatnya, Mohamad Khalil Jamaludin ketika ditemui di pejabatnya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Sejak AKPK ditubuhkan pada 2006 hingga Disember tahun lalu, seramai 248,491 orang telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling kewangan mereka.

 

Daripada jumlah itu kira-kira 100,871 orang telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) iaitu satu program yang dikhususkan kepada mereka yang sudah hilang kawalan terhadap pengurusan kewangan dan hutang masing-masing.

 

Bagaimanapun, daripada jumah di atas itu, hanya 4,645 yang berjaya keluar daripada program PPK.

 

"Dengan kata lain, mereka yang menyertai program PPK itu boleh dianggap sebagai sudah panik kerana telah dapat surat tindakan undang-undang dari bank berkenaan tetapi belum muflis lagi.

 

"Tetapi setakat ini, mereka yang menyertai program itu telah melahirkan rasa lega dan berterima kasih kepada AKPK," katanya.

 

Mohamad Khalil mengulas lanjut, peranan AKPK boleh dianggap selaras dengan seruan agama Islam yang menganggap setiap hutang itu perlu dibayar sepenuhnya sebelum ajal.

 

Malah, beliau menambah, adalah tidak sewajarnya untuk kita sebagai ibu bapa atau suami membebankan anak-anak atau isteri dengan hutang yang wujud kerana sikap tidak bertanggungjawab kita sendiri.

 

"Kita perlu bertanggungjawab ke atas setiap hutang yang kita wujudkan. Kita perlu selesaikannya dan tidak seharusnya mengalih bebanan itu kepada pihak ketiga iaitu anak-anak atau isteri," katanya.

 

Dalam soal itu, beliau menambah, AKPK akan menjadi orang tengah antara penghutang dengan pemuitang (institusi kewangan atau bank) dalam memastikan pembayaran hutang berjalan lancar.

 

"Walaupun AKPK adalah anak syarikat milik penuh Bank Negara Malaysia (BNM) dan BNM adalah pengawal selia institusi kewangan atau bank di negara ini tetapi kami tetap berusaha untuk memastikan penghutang dan pemuitang bersetuju dengan pelan pembayaran hutang yang kami rangkakan," katanya.

 

Selain itu, Mohamad Khalil turut menyeru kepada pasangan yang akan berkahwin agar memeriksa kedudukan kewangan masing-masing bagi mengelakkan timbulnya konflik di kemudian hari.

 

Beliau berkata, seruan itu bukan bertujuan untuk menghalang niat pasangan terbabit berkahwin tetapi ia sejajar dengan ajaran Islam yang menuntut setiap pasangan itu bersikap jujur dan telus dalam soal itu.

 

"Kami bukan hendak halang orang muda untuk berkahwin tetapi ketelusan dan kejujuran dalam soal kedudukan kewangan masing-masing perlu ada kerana ia boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga.

 

"Tetapi seruan itu mungkin membolehkan pasangan terbabit berganding bahu menyelesaikannya atau datang berjumpa dengan AKPK.

 

"Lagi pula adalah tidak betul apabila seseorang itu sanggup berhutang tetapi mengalihkan bebanan hutang tersebut kepada orang lain bila gagal membayar hutang tersebut," katanya.