122,169 muflis dalam tujuh tahun

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia10 April 2014

 

KUALA LUMPUR 9 April - Jumlah rakyat Malaysia yang diisytiharkan muflis dalam tempoh dari 2007 hingga 2013 adalah seramai 122,169 orang.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, rekod daripada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) itu menunjukkan trend individu muflis mengalami peningkatan dari tahun ke tahun.

 

"Dari segi kategori kebankrapan, golongan yang paling banyak diisytiharkan muflis ada golongan yang menghadapi masalah sewa beli kenderaan iaitu seramai 33,570 atau 26.54 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang bertanyakan jumlah rakyat Malaysia berstatus muflis serta usaha mengekang trend peningkatannya.

 

Menurut Nancy, beliau meletakkan pengurangan bilangan muflis di negara ini sebagai Petunjuk Prestasi Utamanya (KPI) yang perlu dicapainya.

 

Katanya, kerajaan melalui MDI telah mengadakan beberapa program bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengurusan kewangan.

 

Tambahnya, kerjasama juga dilakukan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di bawah Bank Negara Malaysia (BN) untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran.