Kerajaan tetap prihatin terhadap golongan muflis

Categories

Artikel dari Borneo Post10 April 2014

 

Nancy sangkal dakwaan mengatakan tiada usaha atau perancangan dilakukan untuk bantu golongan itu

 

KUCHING: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tiada usaha atau perancangan dilakukan kerajaan bagi membantu golongan muflis di negara ini.

 

Menurutnya undang-undang kebankrapan sedia ada sedang dalam proses pembaharuan dengan mengambil kira dan memasukkan unsur-unsur peluang kedua dan mekanisme penyelamat bagi kebankrapan individu agar dapat diselamatkan.

 

“Apa yang perlu dilakukan oleh golongan muflis sekarang ialah memberi kerjasama kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) untuk tampil bagi membolehkan mereka mendapat kembali hak serta bebas daripada belenggu bankrap,” katanya.

 

Beliau menambah, MDI masih memberi peluang kedua dan ruang kepada seorang yang bankrap untuk berbuat demikian melalui peruntukan undang-undang sedia ada dalam Akta Kebankrapan 1967.

 

Usaha kerajaan selama ini katanya mula menampakkan hasil apabila berlaku peningkatan empat peratus bilangan bankrap yang membayar ansuran bulanan pada tahun lalu berbanding 2012 iaitu 116,939 kepada 121,051 orang.

 

Katanya lagi statistik jumlah kehadiran golongan bankrap ke MDI juga menunjukkan peningkatan sebanyak 51 peratus iaitu 39,279 berbanding 26,021 pada 2012.

 

“Kerajaan sentiasa mengambil serius kes kebankrapan di negara ini menerusi penganjuran pelbagai aktiviti promosi termasuk program ‘outreach’ oleh MDI dan dan Jabatan Bantuan Guaman (JBG).

 

“Selain itu Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi membantu memberi pendedahan tentang pengurusan wang secara bijak seterusnya mengelak individu diisytihar bankrap,” ujarnya.

 

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong memberitahu, JBG turut menawarkan perkhidmatan nasihat kepada individu yang bankrap secara lisan dan sepanjang tahun lalu 191 khidmat nasihat tentang undang-undang kebankrapan telah diberikan kepada orang ramai.

 

“Apapun saya menyambut baik sebarang cadangan daripada semua pihak dalam usaha membantu golongan muflis bebas daripada masalah bankrap di negara ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai cadangan Sekretariat Bebas Muflis (SBM) agar Jabatan Insolvensi Malaysia menyediakan perkhidmatan guaman secara percuma bagi membantu golongan muflis yang berdaftar dengan jabatan itu.

 

Pengerusi SBM Datuk Sohaimi Shahadan berkata langkah itu mampu membantu meringankan beban individu muflis kerana untuk keluar daripada kategori itu, mereka perlu membayar kos tinggi bagi khidmat guaman.