AKPK sediakan khidmat kaunselor

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia24 April 2014

 

KOTA BHARU 23 April - Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

menyediakan perkhidmatan kaunselor secara bergilir-gilir bagi membolehkan pelanggan mendapat khidmat rundingan kewangan sepanjang Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang berakhir 27 April ini.

 

Ketua AKPK Cawangan Kelantan, Mohd. Rizauddin Noor berkata, orang ramai sewajarnya mengambil peluang tersebut terutama pada cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu.

 

Sepanjang minggu ini, kami sediakan lima orang kaunselor yang bertugas secara bergilir-gilir bagi membantu orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat. Jadi, saya berharap orang ramai tidak melepaskan peluang ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

 

Beliau berkata, AKPK akan menjadikan MSAM 2014 sebagai platform untuk

memperluaskan peranan agensi tersebut kepada pelbagai lapisan masyarakat. 

 

Bagaimanapun, katanya, sejak pembukaan cawangan-cawangan di seluruh negara, orang ramai semakin menyedari tentang perkhidmatan yang ditawarkan di bawah AKPK bagi membantu orang ramai menyelesaikan bebanan kewangan mereka.

 

Secara dasarnya, AKPK yang beroperasi pada April 2006 telah mencapai tahap membanggakan terutama selepas merintis usaha membuka cawangan di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu. Alor Setar dan Kota Bharu.

 

Peranan pembukaan pejabat-pejabat cawangan itu yang menempatkan kaunselor terlatih banyak membantu pelbagai golongan dan lapisan masyarakat daripada dibebani masalah hutang.

 

Sehingga 31 Mac 2014, lebih 261,578 pelanggan telah mendapat perkhidmatan kaunseling AKPK yang mana 105,560 daripadanya turut dibantu melalui Program Pengurusan Kredit.

 

Daripada jumlah itu, 116 pelanggan adalah rakyat Kelantan yang turut mendapat manfaat di bawah program tersebut manakala 1,439 orang mendapatkan perkhidmatan kaunseling.

 

Mengulas tentang cabaran AKPK di peringkat cawangan katanya, pada peringkat awal orang ramai menganggap AKPK hanya menguruskan mereka yang bermasalah dari segi kewangan, tetapi lama-kelamaan ia semakin diterima di semua peringkat masyarakat.