AKPK bantu selesai masalah pembayaran pinjaman bank

Categories

Artikel dari Harian Metro24 April 2014

 

Kota Bharu: Mereka yang bermasalah menyelesaikan pinjaman bank boleh mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai orang tengah untuk penstrukturan semula bayaran.

 

Ketua Kaunselor Kredit AKPK Kelantan, Mohd Rizauddin Noor berkata, peranan AKPK membantu orang ramai yang berdepan masalah pengurusan kredit dan memberi maklumat lanjut mengenai perkara berkaitan menguruskan kewangan.

 

“Matlamat kami adalah mempromosikan pengurusan kewangan berhemah sebagai gaya hidup dan perkhidmatan kami diberikan percuma,” katanya ketika ditemui di gerai pameran AKPK sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, semalam.

 

Menurutnya, AKPK tidak melantik mana-mana individu sebagai ejen untuk berurusan dengan orang ramai.

 

“Menerusi pengurusan wang ringgit anda, kami menekankan enam topik iaitu pengurusan aliran tunai, asas meminjam, penggunaan kad kredit secara bijak, membeli kereta dan rumah serta pengurusan hutang anda,” katanya.

 

Mohd Rizauddin berkata, AKPK mempunyai kaunselor di setiap cawangan negeri dan lima kaunselor turut bertugas sepanjang penganjuran MSAM di RTC sehingga Ahad ini.

 

“Bagi pengunjung MSAM, kami memberikan perkhidmatan berhubung pendidikan kewangan dan pengurusan kad kredit secara berhemah.

 

“Asas meminjam sebenarnya tidak melebihi 40 peratus daripada pendapatan. Ini bermakna jika pendapatan RM1,000, hanya RM400 untuk kita membayar hutang seperti kereta, rumah dan pinjaman peribadi,” katanya.

 

Katanya, ramai individu khusus kakitangan kerajaan tidak tahu mengenai asas meminjam berikutan potongan dibenarkan sehingga 60 peratus.

 

“Apa yang disarankan sebenarnya tidak melebihi 40 peratus, jadi di MSAM pengunjung boleh menyemak laporan kredit terkini CCRIS mereka,” katanya.

 

Menurutnya, pengunjung juga boleh mengetahui lebih lanjut program pengurusan kredit AKPK sebagai orang tengah yang berbincang dengan bank untuk membantu penstrukturan semula pinjaman.

 

“Sebagai contoh, mereka yang mempunyai kereta yang ditarik atau dilelong dengan baki pinjaman RM20,000 atau sehingga RM100,000, boleh datang ke AKPK.

 

“Kita akan berbincang semula dengan bank untuk menetapkan jumlah bayaran bulanan mengikut aliran tunai berpatutan merujuk jumlah hutang dengan bank,” katanya.

 

Katanya, statistik AKPK di Kelantan menunjukkan, daripada Januari hingga Mac tahun ini, 116 orang menyertai program pengurusan kredit manakala program kaunseling mencatatkan 474 orang.

 

“Kita tidak meletakkan sasaran pengunjung tetapi mahu mereka yang mempunyai masalah kewangan berjumpa kita sebagai platform lebih dekat dengan orang ramai,” katanya.