AKPK sedia bantu rakyat urus bebanan hutang

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia, 24 April 2014

 

TERIMA kasih kepada penulis artikel Belia muflis akibat belanja luar kemampuan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada Selasa, 15 April lalu yang menyarankan supaya program-program motivasi dan kewangan seperti yang diadakan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melalui Program Pengurusan Kredit diperhebatkan.

 

Perkhidmatan-perkhidmatan AKPK sebenarnya disediakan secara percuma untuk meningkatkan keupayaan kewangan pengguna di Malaysia sebagai usaha untuk menangani isu-isu bebanan hutang yang tinggi dan kebankrapan, seperti berikut:

 

1. Kaunseling Kewangan

AKPK memberi kaunseling kepada pe­langgan secara perseorangan dan bersemuka di mana kaunselornya akan:

(i) Memberi khidmat nasihat kewangan termasuk tentang bajet, pengurusan wang dan isu-isu kredit.

(ii) Membantu pelanggan menganalisis status kewangan serta mengenal pasti jalan-jalan pilihan untuk memulihkan kedudukan kewangan mereka.

 

Sejak AKPK ditubuhkan sehingga 31 Mac lalu, seramai 261,578 orang pelanggan telah menghadiri sesi kaunseling kewangan AKPK. Daripada jumlah ini, seramai 105,560 orang atau 40.4% telah memohon bantuan di bawah Program Pengurusan Kredit (PPK).

 

2. PPK atau Debt Management Programme (DMP)

Melalui program ini, AKPK membantu individu yang mempunyai masalah hutang untuk menstruktur dan menjadual semula hutang mereka serta membuat bayaran balik bulanan mengikut kemampuan.

 

Bagi tujuan ini, kedudukan kewangan peminjam akan disemak dan seterusnya pelan pembayaran hutang disediakan melalui perundingan dengan penyedia kredit mereka.

 

Kriteria kelayakan peminjam di bawah PPK adalah seperti berikut:

(i) Hanya pinjaman peribadi (bukan pinjaman perniagaan)

(ii) Mempunyai baki pendapatan yang positif selepas ditolak semua perbelanjaan

(iii) Jumlah pinjaman tidak melebihi RM2 juta

(iv) Peminjam tidak berada di bawah tindakan litigasi tahap lanjut

(v) Peminjam bukan seorang bankrap

(vi) Kemudahan pinjaman yang diperolehi daripada penyedia kredit yang ditentukan oleh BNM, iaitu:

* Bank-bank Komersil

* Bank-bank Islam

* Syarikat-syarikat Insurans Hayat

* Syarikat-syarikat Takaful • Pengeluar-pengeluar Kad Kredit/Caj

* Koperasi-koperasi Terpilih

* Malaysia Building Society Berhad

* Institusi-institusi Kewangan Pemba­ngunan.

 

Sepanjang tempoh penyertaan di dalam PPK, peminjam memperolehi ketenangan kerana tidak diganggu oleh penyedia kredit dan pemungut hutang. Namun demikian, peminjam berkenaan mestilah mengamalkan disiplin kewangan yang tinggi bagi memastikan kejayaan mereka untuk menyelesaikan hutang di bawah PPK.

 

Setakat 31 Mac 2014, seramai 96,867 orang individu telah diluluskan di bawah PPK. Daripada jumlah ini, seramai 5,165 orang telah berjaya menyelesaikan hutang mereka dengan jumlah pinjaman agregat RM203.1 juta. Sebahagian besar lagi peserta PPK, iaitu seramai 65,068 orang dengan jumlah pinjaman RM4.8 bilion, masih lagi aktif membuat pembayaran balik hutang mereka yang telah distruktur atau dijadual semula.

 

Bagi pinjaman tanpa cagaran, tempoh maksimum pembayaran balik adalah selama 10 tahun, manakala pinjaman bercagar pula tertakluk kepada persetujuan penyedia kredit.

 

Di samping PPK, AKPK juga menyediakan panduan-panduan berikut untuk membantu peminjam melunaskan bayaran hutang mereka:

(i) Panduan Urus Sendiri untuk Pelan Pemulihan Hutang - Panduan untuk berkomunikasi/berunding secara terus dengan pihak penyedia kredit berhubung dengan ca­dangan pembayaran balik hutang.

 

(ii) Cara Menyelesaikan Hutang Anda - Panduan tentang cara penyelesaian pin­jaman satu persatu terutama bagi peminjam yang mempunyai beberapa pinjaman.

 

3. Pendidikan Kewangan

AKPK menyediakan program-program pendidikan kewangan tentang asas-asas pengurusan wang yang bijak serta tip me­minjam dan penggunaan kredit secara bertanggungjawab terutamanya kepada go­longan dewasa muda.

 

Program-program ini dilaksanakan me­lalui taklimat, seminar/bengkel, kempen jelajah dan pameran di seluruh negara serta promosi melalui media-media massa.

 

Bagi menyokong program-program ini, AKPK telah menerbitkan beberapa buku kewangan, iaitu Celik Wang - Pengurusan Wang Secara Bijak, ‘POWER! - Pengurusan Wang Ringgit Anda’ dan buku komik kewangan. Bagi memastikan pencapaian yang meluas, taklimat-taklimat dan buku-buku kewangan AKPK diadakan dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Setakat 31 Mac 2014, seramai 437,257 orang pengguna telah menghadiri pelbagai program pendi­dikan kewangan AKPK.

 

Pada masa ini, AKPK mempunyai 11 pejabat cawangan dan 10 pejabat kaunseling kredit di seluruh negara. Maklumat lanjut mengenai AKPK dan perkhidmatannya boleh diperolehi daripada sesawang www.akpk.org.my dan sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui saluran-sa­luran berikut:

* Talian Bebas : 1800 88 2575

* Facebook : AKPKofficial

* Twitter : AKPK_POWER

* YouTube : AKPKTVC

* E mel : csd@akpk.org.my

 

PENULIS ialah Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK