MSAM 2014 Platform Tonjolkan Peranan AKPK Lebih Meluas

Categories

Artikel dari BERNAMA23 April 2014

 

KOTA BAHARU, 23 April (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menggunakan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2014, yang berlangsung selama lapan hari bermula Ahad lepas, sebagai platform untuk menonjolkan peranannya secara lebih meluas.

 

Ketua AKPK Cawangan Kelantan, Mohd Rizauddin Noor berkata pihaknya berhasrat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Kelantan bahawa mereka mempunyai agensi yang berpengalaman untuk membantu mereka menstrukturkan semula pinjaman dan memberi khidmat nasihat kewangan yang lain.

 

Katanya AKPK turut menjadikan MSAM 2014 sebagai landasan untuk lebih rapat dengan rakyat negeri ini.

 

"Setakat ini, saya melihat tahap kesedaran dalam kalangan rakyat semakin meningkat, terutamanya golongan muda yang sudah bekerja," katanya ketika ditemui di ruang pameran AKPK sempena MSAM 2014 di sini hari ini.

 

Katanya pada MSAM 2014, pihaknya menyediakan lima kaunselor yang bertugas secara bergilir untuk membantu orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat.

 

"Jadi, saya harap orang ramai tidak melepaskan peluang ini, terutama pada cuti hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu," katanya.

 

Rizauddin berkata AKPK turut menyediakan khidmat program pengurusan kredit dan agensi itu akan bertindak sebagai orang tengah antara bank dan peminjam untuk membantu menstrukturkan semula pinjaman.

 

Pada karnival kali ini juga, katanya AKPK menyediakan perkhidmatan rundingan nasihat termasuk mengenai pendidikan kewangan merangkumi pengurusan kad kredit secara berhemah.

 

Katanya pengunjung juga berpeluang untuk mengetahui tentang asas-asas pinjaman iaitu secara kasarnya tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan peminjam.

 

Rizauddin berkata sehingga 31 Mac lepas, seramai 261,578 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK, dan 105,560 daripadanya dibantu melalui Program Pengurusan Kredit.

 

Katanya sejak pembukaan cawangan AKPK di seluruh negara, masyarakat didapati semakin menyedari tentang perkhidmatan yang ditawarkan di bawah agensi ini.

 

Bagi mengelak kekeliruan orang ramai, beliau berkata AKPK tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk mewakili agensi tersebut dan bertindak sebagai kaunselor.

 

"Kami tidak pernah melantik sesiapapun sebagai ejen. Malah, semua kaunselor AKPK adalah terlatih dan berkelayakan serta merupakan kakitangan AKPK sendiri," katanya.

 

AKPK beroperasi pada April 2006 dan mempunyai cawangan di Pulau Pinang, Johor Baharu, Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Baharu.-- BERNAMA