65,277 lelaki ikuti kaunseling AKPK

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia11 Julai 2014

 

KUALA LUMPUR 11 Julai - Sebanyak 65,277 orang lelaki di negara ini mendapatkan bantuan khidmat kaunseling bagi penstrukturan semula kewangan untuk mengelakkan daripada diisytihar muflis.

 

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaldin berkata, dalam kebanyakan kes ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan perancangan kewangan yang lemah dan tidak mempunyai pengetahuan.

 

Jelasnya, kehadiran mereka bagi mendapat perkhidmatan AKPK turut didorong oleh cara kehidupan yang tidak mengikut kemampuan kewangan.

 

"Malah sebanyak 17,096 daripada mereka berusia antara 20 hingga 30 tahun yang turut mengalami masalah faktor luar jangkaan seperti kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan," katanya ketika ditemui sempena Majlis Berbuka AKPK bersama media di sini, semalam. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian.

 

Tambah Mohamad Khalil, golongan belia tidak perlu berasa malu untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling bagi memastikan para peminjam bijak menguruskan wang dan tidak dibebani hutang hingga menjadi muflis.

 

"Program pendidikan kewangan AKPK bertujuan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan pada masa sama menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman yang konsisten serta teratur. Dengan bertambahnya pengetahuan kewangan, keperluan untuk menabung dapat diwujudkan untuk masa depan," katanya.

 

Katanya, AKPK mahu mengubah persepsi negatif dari segelintir pihak berhubung peranan agensi itu yang sebenarnya memainkan peranan dalam mendidik rakyat mengenai pengurusan kewangan.

 

"Sebelum ini ramai yang beranggapan AKPK merupakan agensi yang menyelesaikan masalah hutang tetapi sebaliknya agensi kami bertujuan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak serta dalam masa yang sama menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman yang konsisten dan teratur," katanya.