Kawal Nafsu Belanja, Elak Sengsara Lepas Raya

Categories

Artikel dari BERNAMA21 Julai 2014

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Perabotnya masih lagi elok, warna tidak ada tanda-tanda hendak pudar manakala struktur fizikalnya nampak kukuh. Begitu juga dengan langsir di ruang tamu rumah teres dua tingkat ini.

 

Pendek kata, semuanya masih boleh dan selamat untuk digunakan dan tidak buruk ataupun lusuh.

 

"Abang, kita tukar sahajalah set sofa rumah ini. Mana ada lagi orang pakai sofa macam ini. Nanti malu kepada tetamu dan rakan yang datang", rungut Sofia.

 

Bagaimanapun, permintaannya tidak mendapat respons positif daripada si suami yang mempertikaikan tempat istirehat itu masih lagi cantik dan tidak pun menunjukkan tanda-tanda akan rosak.

 

Bengang reaksi diberikan menyebabkan Sofia mula ligat mencari helah, yang mana ini antara sedutan sketsa berkisar 'boros perbelanjaan menjelang Aidilfitri' yang ditayangkan di televisyen baru-baru ini.

 

Bagaikan mengalami sindrom perayaan, hakikatnya cerita Sofia ini adalah antara realiti kehidupan masyarakat hari ini yang begitu meriah berbelanja setiap kali menjelang perayaan.

 

Walhal, tanpa mereka sedari atau sengaja tidak mengendahkannya sikap ini boleh mengundang padah!

 

PELBAGAI PROMOSI

Tidak dinafikan, ketika ini pelbagai promosi menarik ditawarkan oleh pusat membeli-belah memenuhi setiap sudut kota dan luar bandar.

 

Bagaikan tidak mencukupi, ada pula kewujudan peniaga bazar sementara yang menjual pelbagai barangan seperti alas meja, pakaian tradisional, kuih raya, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan menyambut Aidilfitri.

 

Sama ada mempunyai lesen ataupun sebaliknya, masing-masing begitu rancak bermain strategi dan gimik untuk melariskan barangan yang dijual.

 

Tidak hanya bergantung kepada potongan harga runtuh serta dendangan lagu raya, aksi-aksi mencuit hati turut menjadi pilihan peniaga untuk menarik pelanggan, ditambah pula menjelang akhirnya Ramadan ini.

 

Slogan-slogan seperti beli dahulu bayar kemudian, promosi dalam talian juga membuatkan ramai mula rambang mata dan mula berbelanja, hingga ada melangkaui kemampuan sendiri.

 

"Apabila ingin menyambut Aidilfitri atau apa-apa sahaja perayaan, masyarakat akan membuat persiapan bagi menyambutnya dengan meriah. Mereka akan membeli pakaian baharu, menukar peralatan dan perabot rumah.

 

"Terdapat sebahagian masyarakat tidak mengamalkan perbelanjaan berhemat. Akibatnya, ramai menghadapi masalah kehabisan wang selepas Hari Raya Aidilfitri", kata Pengarah Komunikasi Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman.

 

HABIS DULU, FIKIR KEMUDIAN

Bagi sesetengah mereka beranggapan 'raya hanyalah setahun sekali', jadi apalah salahnya untuk berbelanja lebih.

 

Ditambah pula dengan bonus yang sudah ada di tangan dan gaji dimasukkan lebih awal bagi meringankan persiapan raya, membuatkan ada yang tersilap langkah dek keseronokan berbelanja menguasai diri.

 

Mereka bukan hanya menghabiskan pendapatan semasa diterima, alahan kad kredit juga menjadi pilihan sebagai opsyen pembayaran pada musim perayaan ini.

 

Walhal, penggunaan yang tidak berdisiplin semata-mata untuk memenuhi keinginan diri boleh memerangkap mereka kepada keberhutangan yang serius.

 

"Kemudahan berbelanja tanpa menggunakan tunai seperti kad kredit, bayaran mudah membeli perabot atau peralatan elektrik menyebabkan seseorang itu berbelanja melebihi pendapatan.

 

"Sekiranya mereka dapat menguruskan hutang itu dengan baik, tidak menjadi masalah. Tetapi, bagaimana pula sekiranya gagal? Justeru, lebih baik penggunaan kad debit", tegas Mohd Yusof kepada Bernama.

 

Jika gagal melunaskan hutang kad kredit selain pendapatan semasa diterima habis, akibatnya mereka bukan sahaja perlu ikat perut dan berpuasa selepas seminggu raya.

 

Bahkan, ada yang tidak mampu untuk menjelaskan ansuran bulanan rumah, kereta, perbelanjaan keluarga dan pelbagai bil lain.

 

BERHUTANG?

Paling membimbangkan, apabila terdapatnya trend untuk berhutang dengan ah long disebabkan kad kredit tidak cukup. Perkembangan ini adalah satu senario tidak sihat, kerana telah banyak kali laporan media mengenainya didedahkan.

 

Tetapi, mereka (segelintir) bagaikan tidak takut dan tidak ambil peduli, belajar daripada mangsa sebelum ini.

 

"Saya pernah dimaklumkan terdapat ramai orang datang ke syarikat peminjam wang tidak berlesen untuk mendapatkan bantuan kewangan. Malah, syarikat itu tidak menang tangan melayan pelanggan yang datang.

 

"Ini menunjukkan ramai orang menghadapi masalah kewangan sebagai persiapan menyambut perayaan", katanya.

 

Semua ini, merungkai kepada persoalan perlukah berbelanja boros sehingga berhutang keliling-pinggang, menggadaikan nyawa sendiri hanya semata-mata menyambut perayaan?

 

Berbaloikah untuk merasai kenikmatan sementara disebabkan ingin bergaya kereta baharu, telefon baharu sedangkan ia di luar kemampuan sehingga perlu ikat perut?

 

Persoalan dan senario ini perlu diambil perhatian serius, ujar Mohd Yusof.

 

Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan FOMCA, menunjukkan 37 peratus pekerja muda berbelanja di luar tahap kemampuan masing-masing.

 

Manakala, 47 peratus responden menggunakan 30 peratus daripada pendapatan mereka untuk membayar hutang.

 

HUTANG DAN MUFLIS

Sikap suka berhutang ini, boleh menjurus mereka kepada muflis.

Data Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan bahawa 23,397 individu yang diisytiharkan muflis sepanjang tahun 2007 sehingga September 2013 adalah dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun.

 

Lebih membimbangkan, apabila ada antara mereka yang belum lagi genap mencapai usia 25 tahun, tetapi berada dalam kemelut kebankrapan.

 

"Kesedaran masyarakat tentang pengurusan kewangan masih rendah. Ini kerana, pendidikan kewangan pengguna kurang diterapkan dalam pendidikan sekolah.

 

"Cuma, sejak beberapa tahun kebelakangan ini timbul usaha pelbagai pihak mengadakan program pendidikan pengurusan kewangan. Hal ini timbul, apabila Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan terdapat 61 orang diisytiharkan muflis setiap hari", katanya.

 

Kurang pengetahuan itu membuatkan ramai yang gagal membuat perancangan ataupun bajet untuk menghadapi perayaan.

 

Menurut Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Johor Baharu, Mohd Nasir Mustafa, agak menyedihkan apabila ada antaranya tidak tahu apa yang dimaksudkan 'bajet'.

 

Sedangkan, bajet atau perancangan musim perayaan ini sangat mudah untuk dibuat dan dilaksanakan kerana hanya berlaku setahun sekali dan ada masa untuk membuat persediaan menyimpan.

 

SEDIA MEMBANTU

Bagi menanganinya, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedia membantu orang ramai menjadi pengguna bijak.

 

Pelbagai program dianjurkan selaras dengan peranannya membantu individu menguasai situasi kewangan mereka dan mencapai ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak.

 

Antaranya program Power, yang khusus kepada golongan muda, pengurusan kewangan peribadi dan kaunseling turut disediakan.

 

"Tidak salah berbelanja tetapi haruslah mengikut kemampuan masing-masing. Cuba elakkan daripada terpengaruh dengan persekitaran.

 

"Sekurang-kurangnya, kita perlu memperuntukkan 10 peratus daripada gaji untuk menyimpan bagi menghadapi saat kecemasan", katanya.

-- BERNAMA