Kerjasama bantu masyarakat keluar daripada masalah kewangan

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia7 April 2015

ROHANI ABDUL KARIM (dua dari kiri) bersama Azaddin Ngah Tasir (belakang, kiri) dan Nor Fazleen Zakaria (kanan) meninjau keadaan di kaunter pendaftaran AKPK ketika mengadakan lawatan ke agensi berkenaan di Maju Junction, Kuala Lumpur, semalam.

 

 

KUALA LUMPUR 6 April – Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat menjalinkan kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi meningkatkan usaha membantu masyarakat tampil lebih berani untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kewangan mereka.

 

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, perasaan malu dan takut untuk mengakui bebanan hutang yang dimiliki menjadi antara faktor utama kebanyakan masyarakat gagal mencari jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapi.

 

Justeru katanya, kerjasama tersebut akan membantu kedua-dua pihak mempelbagaikan inisiatif dalam menyediakan program khidmat nasihat serta kesedaran tentang kepentingan pendidikan kewangan bagi membendung masalah tersebut dari peringkat awal.

 

“Penyakit utama masyarakat adalah rasa segan untuk mengaku mereka sememangnya mempunyai masalah dan malu pula memulakan langkah yang tepat sehingga berlaku masalah kemurungan, keganasan rumah tangga dan gejala membunuh diri akibat dibelenggu tekanan.

 

“Perasaan tersebut harus dikikis dan kita juga akan berusaha menyediakan pelbagai sokongan termasuk menjemput AKPK dalam program Suara Anda Tanggungjawab Utama (SATU) yang diwujudkan kementerian bagi memastikan masalah kewangan yang dihadapi masyarakat terutama golongan muda tidak menjadi semakin parah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat AKPK di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan Pengurus Besar Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria.

 

Sejak tahun 2007 hingga 31 Mac lepas, sebanyak 329,149 orang tampil mendapatkan khidmat nasihat dan kaunseling daripada AKPK dan daripada jumlah itu, 39 peratus atau 127,389 orang telah mengikuti program-program pendidikan serta penstrukturan kewangan yang disediakan agensi tersebut.

 

Dalam perkembangan lain, Rohani turut memberitahu, pihaknya akan mengadakan sesi dialog dan perbincangan pada 9 dan 30 April depan tentang isi kandungan serta pindaan yang akan dilakukan dalam Akta Kanak-Kanak 2015.

 

“Kita akan membuat perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak media serta pihak berkepentingan bagi mendapatkan cadangan, pendapat serta input-input penting sebelum akta tersebut dibentang di Kabinet pertengahan tahun ini,” katanya.