336,563 guna khidmat pengurusan kewangan AKPK

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia15 Mei 2015

 

KOTA BHARU 14 Mei – Seramai 336,563 orang telah mendapatkan khidmat pengurusan kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak penubuhannya pada 2006 hingga April lalu.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, daripada jumlah itu, 129,364 orang telah dibantu oleh agensi itu menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK).

 

 

Beliau berkata, menerusi PPK, sebanyak 7,630 kes telah berjaya diselesaikan sepenuhnya dengan jumlah keseluruhan bernilai RM314.4 juta.

 

 

“Kebanyakan mereka yang menerima khidmat ini mempunyai beban hutang sehingga tidak berupaya membayar balik pinjaman disebabkan kegagalan dalam perancangan kewangan.

 

 

“Oleh sebab itu, kita perlu mempunyai pelan perancangan serta pendidikan dalam menguruskan kewangan dan AKPK adalah tempat yang sesuai sebagai rujukan dan mendapat khidmat kaunseling,” katanya selepas majlis AKPK Bersama Anda di Dewan Misai Kucing, Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong di sini hari ini.

 

 

Yang turut hadir Ketua AKPK Cawangan Kelantan, Mohd. Rizauddin Noor.

 

Pada majlis tersebut, seramai 300 peserta yang terdiri daripada pengendali kredit, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menerima pendedahan tentang perkhidmatan AKPK.

 

Azaddin berkata, setakat ini, AKPK sudah mempunyai 11 cawangan dan 23 pejabat kaunseling di premis bank yang ber­operasi mengikut jadual mingguan atau bulanan di seluruh negara.

 

“Kita menyediakan perkhidmatan pengurusan kewangan ini kepada semua lapisan masyarakat dan kebiasaannya peserta yang menyertai PPK adalah mereka yang berumur 20 sehingga 45 tahun.

 

“Berdasarkan rekod kita, sebanyak 70 peratus yang menyertai PPK adalah mereka berpendapatan kurang daripada RM4,000 kerana masalah bebanan hutang yang bertambah disebabkan perbelanjaan semakin meningkat,” katanya.

 

Tambahnya, oleh sebab itu, masyarakat perlu ada sikap berani untuk mengakui tentang masalah kewangan dan tidak berasa malu merujuk kepada pihak yang boleh membantu.

 

“Saya berharap masyarakat dapat segera tampil lebih awal untuk mendapatkan khidmat kaunseling bagi merancang dan menguruskan kewangan secara berhemat sebelum terlambat,” katanya.