Tiga agensi kerajaan sedia bantu bekas kakitangan MAS

Categories

Artikel daripada The Rakyat Post.

 

KUALA LUMPUR, 32 Mei:

Pusat Pembangunan Korporat (CDC) akan bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan MyANGKASA AMANAH (MAAB), untuk memberi nasihat dan perundingan percuma kepada kakitangan MAS.

 

Pusat yang akan dibuka esok akan memberikan perkhidmatan latihan semula kepada semua kakitangan MAS yang akan diberhentikan. Ia ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebagai sebahagian daripada Rancangan Pemulihan 12point MAS.

 

“CDC akan menyediakan perkhidmatan latihan semula dalam pelbagai bidang untuk kakitangan yang bakal diberhentikan termasuk memprofil bakat, kaunseling kerjaya, latihan asas dan terperinci, kemahiran pencarian kerja, keusahawanan, perancangan persaraan dan penempatan kerja.

 

“Sama ada individu itu mencari pekerjaan baru, memulakan perniagaan atau bersara awal, kumpulan CDC akan membantu memberi langkah praktikal, nasihat dan sokongan bagi merancang langkah mereka seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Shahryn Azmi.

 

Katanya dengan bantuan AKPK dan MAAB, kakitangan MAS akan diberi nasihat dan perundingan dalam topik berkenaan rancangan kewangan mereka.Shahryn berkata ia dengan khidmat nasihat dan perundingan itu, mereka mendapat pengetahuan yang akan membantu mereka dalam merancang masa hadapan.

 

Tambahnya, individu yang mencari pekerjaan akan diberi nasihat dan bantuan daripada kaunselor CDC dalam mencari peluang berdasarkan keinginan, pengalaman pekerjaan sebelum ini dan kemahiran mereka.

 

“CDC akan membantu mencarikan majikan yang menawarkan peluang pekerjaan selari dengan kemahiran bekas kakitangan MAS,” katanya dan menambah jati diri dan kecenderungan turut diberi perhatian dalam perancangan kerjaya masa hadapan.

 

Shahryn berkata CDC turut menawarkan 450 program, kursus dan kelas yang relevan pada pasaran dalam pelbagai industri. Individu yang berminat mempunyai akses pelbagai jenis pilihan, termasuk Perniagaan, Komunikasi, Keusahawanan, Kejuruteraan, Pemasaran, Teknologi Maklumat (IT) dan banyak lagi.

 

Shahryn menggesa kakitangan MAS supaya mendaftar dengan CDC supaya

mereka dapat membantu memberi sokongan dalam pertukaran kerjaya tidak kira untuk mencari pekerjaan baharu, memulakan perniagaan atau merancang bersara awal kerana semua perkhidmatan ini adalah percuma.

 

“Kami akan bekerjasama dengan CDC untuk memberi nasihat dalam pengurusan kewangan untuk faedah mereka yang turut memerlukan perkhidmatan percuma yang diberikan, bagi membantu mengurus dan menguatkan lagi keadaan kewangan mereka,” kata Azaddin Ngah Tasir, CEO AKPK.

 

CEO MyANGKASA Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata pengurusan aset kewangan yang efektif adalah kunci bagi memastikan kewangan masa hadapan mereka kukuh dan dapat membantu individu merancang masa hadapan.