Semakin ramai bermasalah kewangan

Categories

Article taken from Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Permohonan untuk menyertai Program Pengurusan Kredit (PPK) oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terus meningkat pada tahun ini iaitu sebanyak 135,042 orang berbanding 121,495 pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong berkata, peningkatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan semakin ramai rakyat negara ini dibelenggu masalah pengurusan kewangan yang disumbang oleh pelbagai faktor.

“Peningkatan masalah pengurusan kewangan dalam kalangan masyarakat hari ini bukanlah satu petunjuk yang baik, malah perlu diatasi segera bagi mewujudkan rakyat bebas hutang.

“Terdapat pelbagai faktor kepada permasalahan ini termasuk tidak dapat membezakan antara kehendak dan keperluan selain kurang memahami kaedah pengiraan faedah yang menyebabkan banyak pihak terlibat dengan hutang yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat AKPK sambil diiringi oleh Pengerusi AKPK, Datuk Mohd Hanif Sher Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azaddin Ngah Tasir, di sini hari ini.

Dalam pada itu Tee Yong memberitahu, sebanyak 8,321 kes berkaitan masalah pengurusan kewangan berjaya diselesaikan menerusi PPK dengan jumlah hutang yang dibayar bernilai RM345.6 juta melibatkan tempoh dari awal tahun ini sehingga 31 Julai lalu.

Ditanya mengenai kejatuhan nilai ringgit sekarang, Tee Yong menegaskan bahawa spekulasi yang disebarkan kepada rakyat bertujuan memburukkan imej negara.

Jelas beliau, kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat disebabkan pelbagai elemen termasuk perubahan harga minyak mentah dunia, kadar faedah antarabangsa yang semakin tinggi dan aktiviti eksport dunia.

“Orang ramai diminta jangan mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat yang tidak betul terutama dalam isu kejatuhan nilai ringgit,” ujarnya.