Pelaburan Bijak Menjamin Masa Depan

Categories

Article taken from Sinar Harian

 

Program Jelajah Bijak Wang merupakan program anjuran bersama Kementerian Kewangan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang diadakan di 14 lokasi seluruh negara bagi memberi penerangan dan pendidikan kewangan kepada masyarakat terhadap sistem pengurusan kewangan yang betul. Program ini bermula pada Ogos hingga penghujung bulan Disember tahun ini.

 

Untuk lokasi pertama, program ini telah diadakan pada 22 Ogos di Pusat Transfomasi Bandar (UTC) Ipoh dan memdapat sambutan menggalakkan daripada penduduk terutama daripada para pelajar institusi pengajian tinggi sekitar Ipoh. Lokasi seterusnya adalah di Melaka pada 5 September dan 12 lokasi lain termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

 

Program ini direka untuk mendidik dan menanam amalan pengurusan kewangan berhemah di dalam diri semua lapisan masyarakat. Ilmu pengurusan kewangan berhemah merupakan aset dan satu keperluan penting setiap individu terutamanya individu yang berkerjaya termasuk para peniaga.

 

Selain itu, Kementerian Kewangan dan AKPK berhasrat untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia dan juga mendedahkan sistem pelaburan yang bijak kepada masyarakat agar mereka celik dan peka dengan sumber-sumber yang mampu membantu mereka menambahkan pendapatan selain melalui simpanan semata-mata

 

Program satu hari ini akan menggunakan ruang dan kawasan di dalam bangunan UTC negeri-negeri dan kawasan tumpuan orang ramai untuk mendapatkan khidmat kaunter Kerajaan.

 

Orang ramai juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling kewangan, memperolehi maklumat melalui pameran dan taklimat kewangan, mengambil bahagian di dalam klinik kewangan dan kuiz interaktif.

 

Antara topik-topik yang akan disentuh semasa taklimat sepanjang program adalah Pengurusan Aliran Tunai, Asas Pinjaman dan Penggunaan Kad Kredit Secara Bijak

 

Program ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat khususnya kakitangan awam dan swasta, peniaga-peniaga kecil dan golongan belia. Ianya direka bentuk khas oleh anda semua dan tiada bayaran dikenakan.

 

Melalui platform dan lokasi yang mudah diakses oleh orang ramai untuk mendapatkan khidmat yang disediakan sepanjang program, Kementerian Kewangan dan AKPK percaya yang maklumat dan ilmu pendidikan kewangan yang disampaikan mampu mendidik rakyat dan seterusnya mengamalkan pengurusan kewangan berhemat sebagai budaya hidup.

 

Selain itu, ia turut mampu membantu individu yang sedia berada di dalam belenggu kewangan minima dan sederhana untuk mencari jalan keluar dan seterusnya membina kehidupan yang lebih terurus.