Masalah Tidak Mampu Bayar Hutang Meningkat?

Categories

SHAH ALAM - Individu yang mengalami masalah kewangan dan memohon bantuan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) sentiasa meningkat setiap tahun.

Ketua Jabatan Komunikasi AKPK, Mohamad Khalil Jamaldin berkata, dalam kebanyakan kes, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman ialah perancangan kewangan lemah, tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak hidup mengikut kemampuan kerana tahap disiplin kewangan yang kurang.

“Terdapat juga peminjam yang bermasalah disebabkan oleh faktor luar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pencari nafkah, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan.

“Sejak penubuhan sehingga 31 Oktober 2015, lebih daripada 380,433 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK di mana 140,671 daripada mereka telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit kami,” katanya.

Mengikut rekod AKPK, untuk tahun 2015, individu yang memohon khidmat kaunseling AKPK seramai 380,433 orang, meningkat sebanyak 70,770 orang berbanding tahun lalu seramai 309, 663 orang.

Manakala, untuk permohonan Program Pengurusan Kredit (PPK) meningkat sebanyak 19,176 orang berbanding 121,495 orang tahun lalu.

Katanya lagi, seramai 140,000 pelanggan AKPK yang 80 peratus daripadanya pemegang kad kredit, berdepan risiko muflis jika mereka gagal membayar balik pinjaman bank.

Katanya, penghutang berusia 30 tahun ke bawah menyumbang 15 peratus jumlah pelanggan yang berdaftar di bawah AKPK yang ramai antaranya berada dalam PPK yang sewajarnya diberi perhatian agar tidak muflis pada usia muda.

“Selain hutang kad kredit, kebanyakan penghutang menghadapi masalah bayaran balik pinjaman pembelian rumah dan kereta dengan pihak bank. Mereka ini termasuklah pekerja swasta dan juga kakitangan kerajaan,” ujarnya.