Rancang Kewangan Untuk Bebas Hutang

Categories

Melakukan perancangan awal dalam kewangan mampu mengubah gaya hidup individu apatah lagi dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

    "Sebaik-baiknya, individu perlu belajar merancang kewangan ketika alam pengajian seperti berjimat membelanjakan wang biasiswa dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

    "Pada masa sama, individu wajar membuat simpanan awal supaya mendapat pulangan yang lumayan pada kemudian hari," kata Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azman Hasim.

    Antara kebaikan merancang perbelanjaan ialah individu mempunyai wang lebih untuk perbelanjaan lain, bebas daripada kemelut berhutang, mengelakkan diri daripada jatuh muflis dan simpanan untuk situasi kecemasan.

    Antara langkah yang perlu diambil dalam perancangan ialah mengenal pasti status atau kedudukan kewangan sama ada mempunyai nilai harta bersih yang positif atau negatif.

    Pengguna harus menetapkan matlamat di samping menyediakan pelan. Ia bertujuan untuk menentukan perbelanjaan penting dan keperluan asas diutamakan terlebih dahulu.

    "Keperluan asas seperti bil elektrik dan air, makanan dan keperluan rumah adalah lebih penting berbanding membeli barangan yang kurang bermanfaat.

    "Pengguna boleh berbelanja sekiranya segala urusan penting telah dilangsaikan. Kita tidak mahu pengguna belajar untuk berhutang," Jelasnya ketika dihubungi KOSMO! baru-baru ini.

    Tambahnya, sebelum pengguna membeli keperluan barangan rumah, sewajarnya sediakan senarai semak untuk memudahkan perbelanjaan.

Ia juga mengelak pengguna untuk membeli lebih daripada apa yang diperlukan. Secara tidak langsung, ia membantu pengguna untuk berjimat cermat.

    Mengulas mengenai trend golongan muda membeli-belah dalam talian, Azman berkata, ibu bapa berperanan penting dalam memantau segala pergerakan anak-anak terutama dalam urusan kewangan.

    "Kita sering lihat generasi kini lebih gemar membeli barangan dalam talian ekoran perkembangan teknologi. Namun, jika tidak dipantau, ia akan menjadi satu maasalah.

    "Orang muda mempunyai keinginan untuk berbelanja sedangkan barangan itu bukan satu keperluan penting. Bukan sahaja mengakibatkan pembaziran wang malah menimbulkan masalah kepada ibu-bapa, khususnya nagi mereka yang belum berkerjaya," bicaranya.

    Tambahnya, terdapat banyak penyelewengan kewangan seperti skim cepat kaya malah ada sesetengah 'kedai' dalam talian yang menipu.