Artikel dari Harian Metro, 9 Mei 2014
Menjalankan perniagaan sendiri dan bekerja makan gaji memang banyak bezanya. Disebabkan itu, ada yang sanggup melupakan kerjaya mahupun pangkat yang disandang untuk mengejar peluang membuka perniagaan disebabkan minat.
Selain minat mendalam dalam bidang perniagaan, ada juga yang berhasrat mahu mengubah nasib keluarga dan menambah pendapatan menerusi perniagaan.
Walau apapun alasan untuk menceburi dunia perniagaan, persediaan dari segi ilmu pengetahuan, maklumat penting, matlamat, keyakinan diri dan tidak berputus asa menjadi kunci untuk berjaya menghadapi pelbagai kemungkinan.
Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan dan Kaunselor Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Mohd Adnan Anan Abdullah menyifatkan, memang banyak kelebihan jika terbabit dalam dunia perniagaan, namun risikonya juga tidak boleh diketepikan dan harus dihadapi dengan cara berkesan.
“Kata orang, mereka yang memiliki perniagaan sendiri memberi laluan mudah untuk menikmati kekayaan atau menjadi jutawan (jika berjaya)!
“Malah, mereka juga bebas membuat keputusan sendiri kerana 100 peratus tumpuan dan kerja dilakukan untuk diri sendiri. Hidup juga bukan di bawah telunjuk orang lain,” katanya.
Kebanyakan mereka yang menceburi bidang perniagaan juga mempunyai masa lapang yang banyak untuk diri sendiri dan keluarga. Bertambah mudah selepas sekian lama membina perniagaan yang kini boleh diurus oleh pekerja sekali gus hidup tidak lagi terkongkong seperti pekerja yang makan gaji.
“Mengenai risiko di bidang perniagaan, ada beberapa perkara penting perlu diketahui. Mengikut statistik AKPK pada akhir Mac 2014, 15.6 peratus individu yang memohon bantuan program pengurusan kredit (program membantu individu menstrukturkan hutang bermasalah dengan institusi kewangan) menunjukkan masalah kewangan yang dialami oleh individu berpunca daripada ‘kegagalan dalam perniagaan’.
“Situasi ini ketiga tertinggi selepas masalah ‘pengurusan kewangan yang lemah dan kos perubatan’. Justeru, saya menasihatkan mereka yang mahu menceburi bidang perniagaan supaya menimba sebanyak mungkin ilmu atau selok-belok dalam perniagaan,” katanya.
Jangan terburu-buru atau terdesak kerana mahu bersaing dengan orang lain. Jika boleh, mulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu.
Selain itu, elak daripada menggunakan pinjaman yang banyak dan sebaiknya, gunakan modal sendiri.
Dari segi pengurusan risiko, mereka juga perlu sedar, lazimnya risiko berniaga jauh lebih tinggi daripada pekerja yang makan gaji,” katanya.
Perlu dinilai semua risiko berkaitan seperti perubahan pasaran, kos pemasaran, margin keuntungan, penjagaan kualiti produk atau perkhidmatan, bekalan dan modal serta mempunyai tenaga pekerja yang boleh dipercayai.
Perlu juga diingat terutama semasa memulakan perniagaan, orang yang ingin menceburi bidang ini memerlukan banyak pengorbanan masa dan tenaga mereka.