Artikel dari Utusan Malaysia, 12 Februari 2015

AZADDIN NGAH TASIR (kiri) bertukar dokumen dengan Roslan Hassan selepas Majlis Menandatangani MoU antara AKPK dan YWP di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 11 Feb. – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) hari ini memeterai perjanjian dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan ahli Skim Pembiayaan Khas Penjualan Rumah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPD-MTEN) dan Perumahan Awam Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (PA-DBKL).
Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, pihaknya akan menawarkan perkhidmatan pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit kepada pembeli rumah di bawah program tersebut.
“Dengan adanya program ini, diharap AKPK dapat membantu pembeli di bawah skim tersebut menjadi pengguna bijak seterusnya dapat membayar balik pinjaman perumahan mereka mengikut jadual.
“Berdasarkan statistik sehingga Januari lalu, sebanyak 22.6 peratus daripada 123,604 individu yang menyertai Program Pengurusan Kredit AKPK mengakui bahawa mereka dibebani hutang disebabkan kekurangan pendidikan dalam pengurusan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara AKPK dan YWP, di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Roslan Hassan; Pengurus Besar Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), Fadzil Hamid dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK, Mohamad Khalil Jamaldin.
Azaddin berkata, empat modul pendidikan kewangan yang dibangunkan adalah di peringkat pengajian tinggi, memasuki alam pekerjaan, membina keluarga dan menempuh zaman persaraan.
Menurutnya, melalui MoU itu, YWP telah membantu menyediakan platform untuk AKPK meluaskan lagi perkhidmatan kepada pengguna.
Sementara itu, Roslan berkata, perjanjian itu bukan sahaja dapat mendidik warga Wilayah Persekutuan mengenai pengurusan kredit, tetapi juga memberi motivasi untuk mereka menjadi peminjam yang bertanggungjawab.
“SPWP memberi pinjaman 100 peratus kepada mereka, tetapi sejak ditubuhkan pada Disember tahun lalu, 60 daripada 2,930 ahli telah menjadi peminjam ingkar dan kontrak mereka dibatalkan kerana tidak membayar balik pinjaman.
“Walau bagaimanapun, pihak kami telah meminta DBKL membantu ahli-ahli dengan cara menukarkan status mereka daripada pemilik kepada penyewa untuk rumah masing-masing.
“Dengan termeterainya perjanjian ini, kami menjangkakan pengurangan pinjaman tidak berbayar (NPL) sebanyak 30 peratus,” katanya.