HLB DuitSmart platform literasi kewangan

Categories

KUALA LUMPUR: Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank melancarkan insiatif HLB DuitSmart sebagai usaha untuk memberi penekanan terhadap kepentingan literasi kewangan.

HLB DuitSmart adalah platform literasi kewangan yang dilaksanakan bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Universiti Malaysia (UM).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Domenic Fuda berkata, platform berkenaan adalah untuk memberi pengetahuan mengenai pengurusan kewangan dan menjadikan maklumat berkaitan lebih mudah diakses oleh rakyat negara ini.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan secara dalam talian bersama iMoney mendapati 75 peratus rakyat negara ini menilai ilmu kewangan pada tahap rendah sehingga sederhana.

Malah, katanya, hanya 19 peratus individu mengekalkan skor kredit yang baik meskipun kebanyakannya mengatakan faham mengenai perkara itu.

“Sebagai institusi kewangan di Malaysia, kami terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab dalam menghubungkan jarak antara kesedaran dan pengetahuan hal ehwal pengurusan kewangan.

“Melalui HLB DuitSmart, kami akan memfokuskan kepada tiga teras iaitu Kesedaran, Bantuan dan Tindakan berhubung pengurusan kewangan ini,” katanya pada majlis pelancarannya di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir dan Naib Canselor UM, Datuk Dr Abdul Rahim Hashim.

HLB DuitSmart akan mengira dan menyediakan maklumat mengenai pengetahuan kewangan secara dalam talian, selain membolehkan rakyat Malaysia menyemak skor kredit masing-masing, menerusi usaha sama dengan iMoney mulai hari ini hingga akhir bulan.

Fuda berkata, dalam tinjauan yang sama, 68 peratus percaya secara umumnya mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi dan 41 peratus tidak tahu di mana mereka boleh dapatkan bantuan.

“Kebanyakan orang menganggap pengetahuan kewangan bermaksud mengetahui cara menyimpan dan mengurus pinjaman, sedangkan ia lebih daripada itu.

“Lagi cepat konsep itu difahami, lebih cepat kita dapat menanam amalan kewangan bertanggungjawab yang akan meningkatkan kebebasan kewangan pada masa depan,” katanya.