BSN dengan kerjasama AKPK lancar kempen DUITforBaby dan BSN MyFirst

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR, 23 Jun -- Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) hari ini melancarkan kempen ‘Duit for Baby’ bagi memperkenalkan skim simpanan baharunya, BSN MyFirst. 

Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani berkata kempen yang berlangsung mulai hari ini sehingga 31 Dis depan, terbuka kepada semua ibu bapa yang membuat simpanan dengan BSN MyFirst untuk anak-anak mereka yang berusia di bawah tujuh tahun. 

"Pelanggan bukan sahaja dapat menikmati kadar keuntungan yang menarik apabila menyimpan dengan BSN MyFirst, malah mereka juga berpeluang memenangi hadiah lumayan apabila menyertai kempen ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen 'Duit for Baby' di Wisma BSN, di sini, hari ini. 

Kempen 'Duit for Baby' dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah. 

Kata Yunos, selain perlu membuka skim simpanan BSN MyFirst, peserta juga boleh menyertai kempen ini dengan mengikut modul kewangan dalam talian yang disediakan AKPK atau menghantar tiga slogan terbaik ke AKPK. 

"Sepuluh ribu peserta pertama yang menyertai BSN MyFirst dalam tempoh berkempen akan menerima hadiah tambahan bernilai RM50 yang akan didepositkan ke dalam akaun BSN MyFirst masing-masing," katanya. 

Pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah berupa Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN bernilai RM5,000, manakala tempat kedua, SSP bernilai RM3,000 dan tempat ketiga, SSP bernilai RM1,000.

Tiga pemenang bulanan juga akan dipilih sepanjang tempoh kempen untuk membawa pulang hadiah berupa SSP bernilai RM650 untuk tempat pertama, RM500 untuk tempat kedua dan RM300 di tempat ketiga. 

Kempen 'Duit for Baby' turut menerima sokongan daripada KKM yang memberi fokus untuk mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan kewangan ketika memulakan keluarga menerusi modul-modul pendidikan kewangan secara dalam talian. 

"Modul-modul ini turut memberi penekanan terhadap belanjawan, aliran tunai, kos melahirkan bayi serta perlindungan dan perancangan untuk pendidikan anak-anak," kata Yunos.

--BERNAMA