AKPK sedia khidmat bantuan PKS, syarikat mikro

Categories

KUALA LUMPUR: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memperkenalkan Meja Bantuan Perusahaan Mikro bagi terus membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19 bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, berkata langkah itu juga seiring dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) membantu usahawan mikro mendapatkan bantuan pembayaran balik pinjaman. 

Beliau berkata, selain berhubung dengan bank untuk bantuan bayaran balik pinjaman, PKS mikro kini boleh menyalurkan permohonan berkenaan melalui Meja Bantuan Perusahaan Mikro AKPK. 

Katanya, PKS mikro boleh melayari laman web AKPK atau menghubungi pusat panggilan AKPK di talian 03-2616 7766 dari pukul 9 pagi hingga pukul 4 petang (Isnin hingga Jumaat) bagi menetapkan janji temu bersama penasihat kewangan AKPK. 

"Penasihat kewangan AKPK akan memberikan khidmat nasihat bantuan bayaran balik pinjaman secara percuma dan membantu mengemukakan permohonan bagi pihak usahawan mikro kepada institusi perbankan masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.

Azaddin berkata, maklumat lanjut mengenai Meja Bantuan Perusahaan Mikro serta perkhidmatan lain yang disediakan oleh AKPK, orang ramai boleh melayari laman web AKPK atau hubungi 03-2616 7766.