URUS giat dilaksanakan industri perbankan, AKPK

Categories

Categories: 

PUTRAJAYA – Industri perbankan bersama-sama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang giat melaksanakan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) bagi peminjam B50 yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program tersebut memberikan pelbagai manfaat kepada golongan tersebut, termasuklah pengecualian faedah atau keuntungan untuk tempoh tiga bulan.

Selain itu katanya, ia juga membenarkan penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun bagi membantu mengurus hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan peminjam.

Tambah beliau, program itu turut memberikan sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang untuk menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain.

“Peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

“Ini bagi memastikan bantuan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam yang memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880.

Jelas beliau, ia membantu golongan itu yang kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

“Syarat-syarat lain adalah pinjaman atau pembiayaan telah pun berada di bawah program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September 2021 dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar.

“Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari 2022,” katanya.

Selain daripada program URUS, Ismail Sabri berkata, peminjam masih boleh mendapatkan bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka.

Bagi pengusaha mikro pula, katanya, RM1.8 bilion telah diperuntukkan melalui TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

Ujarnya, ia memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus selama sekurang- kurangnya enam bulan bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000 dan moratorium segera di antara 6 hingga 12 bulan, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

“Peruntukan ini dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967), dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (2020),” katanya.

Memandang ke hadapan, Ismail Sabri berkata, kerajaan mengaktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang sedang giat membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang. – K! ONLINE