'Hubungi AKPK untuk struktur semula pinjaman kereta'

Categories

Categories: 

KUALA LUMPUR: Pengguna yang masih mempunyai hutang sewa beli kereta yang terjejas akibat banjir atau tamat tempoh moratorium dinasihat tidak melarikan diri daripada bank, sebaliknya mendapatkan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kesukaran dihadapi pengguna terjejas juga sepatutnya tidak dibebani terus oleh pihak bank, sebaliknya memberi peluang mereka membuat penstrukturan semula dengan AKPK.

"Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 memberi banyak kesan kepada rakyat. Ada yang kehilangan pekerjaan dan tidak kurang juga gaji dipotong.

"Bank sudah memberi moratorium, tetapi memasuki 2022, ia ditamatkan. Ditambah pula bencana banjir baru-baru ini, kita lihat banyak kereta tersadai ditenggelami air dan keadaan ini cukup membebankan pengguna," katanya kepada BH, hari ini.

Pandemik COVID-19 dan arahan PKP oleh kerajaan memperlihatkan semua bank dalam negara memberikan tempoh moratorium kepada peminjam selama dua tahun.

Disember lalu, beberapa negeri dilanda banjir, sekali gus memperlihatkan ramai golongan terjejas termasuk mereka yang kehilangan aset seperti kenderaan sama ada kegunaan peribadi atau perniagaan.

Mohd Yusof berkata, pengguna boleh mendapatkan khidmat nasihat AKPK bagi penstrukturan semula pembayaran termasuk perbincangan bersama pihak bank.

"Rundingan bersama AKPK membantu mereka menstruktur semula pinjaman dan pihak bank tidak boleh sama sekali menafikan hak pengguna yang terjejas, sekali gus mengelak mereka daripada muflis.

"Tindakan ini sekali gus memberi peluang pengguna bernafas kembali selepas diduga akibat banjir," katanya.