TLDM Bantu Selesai 102 Anggota Pinjam Ah Long

Categories

Petikan artikel dari Yahoo News Malaysia7 Januari 2013

 

LUMUT, 7 Jan (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengambil

langkah proaktif membantu 102 anggotanya yang membuat pinjaman ''Ah Long'' dengan menyelesaikan kesemua nilai pinjaman terlibat iaitu RM139,000.|

 

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata seramai 178

anggota dikenalpasti terlibat membuat pinjaman daripada pemberi pinjaman tanpa lesen itu.

 

"Seramai 76 anggota lagi dibantu melalui ceramah dan khidmat nasihat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Kami dapat bantuan daripada agensi luar yang berbincang dengan pemberi pinjaman tanpa lesen," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan Tahun Baharu kepada kira-kira 2,000 pegawai dan anggota di Pangkalan TLDM di sini, hari ini.

 

Beliau berkata usaha TLDM itu memberi keyakinan dan semangat kepada anggota yang terjebak serta TLDM akan membuat pemantauan terhadap anggota supaya tiada yang terlibat lagi.

 

Mereka yang terlibat adalah anggota pelbagai pangkat dan pihak pengurusan

TLDM telah mengadakan pertemuan dengan mereka untuk mengetahui punca sebenar pinjaman dibuat, katanya.

|

Beliau yang tidak menafikan kemungkinan masih ada anggota yang terlibat

dengan pinjaman Ah Long, berkata pihaknya menugaskan pegawai untuk memberi penerangan serta mengenalpasti anggota bermasalah.

 

"Kita menasihatkan mereka berjimat cermat, menabung dan hanya membenarkan pinjaman dibuat atas sebab yang betul-betul memerlukan melalui prosedur yang betul dan bukan dalam jumlah yang tinggi," katanya.

 

Beliau berkata TLDM bekerjasama dengan institusi perbankan untuk memudahkan anggota membuat pinjaman berdasarkan kemampuan pembayaran balik pinjaman.

 

Ditanya mengenai kemungkinan segelintir anggota yang meminjam ''Ah Long'' terlibat dengan aktiviti perjudian mesin slot, Abdul Aziz berkata Protela (Polis TLDM) memantau aktiviti di premis yang menjalankan kegiatan itu.

 

Pada majlis itu, Abdul Aziz turut melancarkan pelan strategik TLDM 2013

hingga 2020 yang merangka strategi jangka pendek dan panjang berlandaskan Pelan Strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Pelan Strategik TLDM yang baharu merangkumi 14 objektif antaranya kesiagaan tertinggi, sumber yang dioptimumkan, kecemerlangan tadbir urus dan kesesuaian polisi dan doktrin.