RM139,000 hutang ceti haram dilangsaikan TLDM

Categories

Petikan artikel dari Berita Harian8 Januari 2013

 

Lumut: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelesaikan 102 kes pinjaman ceti haram atau along bernilai keseluruhan RM139,000 membabitkan kalangan anggotanya sepanjang tahun lalu. 

 

Pada masa sama, 76 anggota lagi yang turut berdepan masalah sama berjaya menyelesaikan sendiri pinjaman menerusi khidmat nasihat pengurusan pasukan itu dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). 

 

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata semua pegawai dan anggota yang dibantu menyelesaikan masalah dengan along diminta menandatangani aku-janji untuk tidak lagi berurusan dengan ceti haram atau tindakan disiplin akan dikenakan terhadap mereka. 

 

Pasukan petugas khas bagi menangani masalah ini diketuai Ketua Pengarah Material TLDM, Laksamana Muda Datuk Mohd Noh Lebai Mahat berjaya merundingkan kembali bayaran termasuk kadar faedah semua 102 kes itu daripada nilai asal RM370,000 kepada RM139,000, katanya. 

 

April lalu, TLDM mendedahkan gejala pinjaman along dalam kalangan pegawai dan anggotanya dan memberi tempoh sebulan kepada mereka untuk melaporkan masalah kewangan kepada ketua masing-masing berikutan masalah itu semakin menular dalam pasukan berkenaan. 

 

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan perutusan tahun baru dan pelancaran Pelan Strategik TLDM 2013-2020 di sini semalam, Aziz berkata, pihaknya menyediakan kemudahan pinjaman untuk anggota terbabit menyelesaikan pinjaman ceti haram. 

 

Kita juga berbincang dengan institusi kewangan supaya mempermudahkan syarat pinjaman peribadi untuk anggota pasukan ini, katanya sambil menambah siasatan mendapati sebahagian besar yang meminjam along itu terbabit dalam permainan mesin judi selain terdesak tanpa mengetahui kadar faedah tinggi yang dikenakan. 

 

Berikutan itu, katanya, Provos Tentera Laut (PROTELA) melakukan pemantauan termasuk menyamar ke premis permainan mesin judi selain merancang pelbagai aktiviti sihat yang boleh disertai anggota TLDM. 

 

Kita tidak akan mengambil tindakan disiplin kerana mereka orang bermasalah yang perlu dibantu. Setakat ini, anggota terbabit menunjukkan semangat tinggi kerana tahu kita mengambil berat masalah mereka, katanya.