200,000 dapatkan khidmat AKPK

Categories

Article from Utusan Malaysia dated 23 October 2012

 

JOHOR BAHRU 22 Okt. - Sebanyak 198,870 orang telah mendapatkan khidmat pengurusan kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sejak ia mula ditubuhkan pada 2006 hingga bulan lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Koid Swee Lian berkata, daripada jumlah itu, seramai 81,596 orang telah dibantu oleh agensi berkenaan menerusi Program Pengurusan Kredit.

 

Berdasarkan statistik yang dikumpul, masalah penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi masih menjadi faktor utama kegagalan individu membayar balik pinjaman.

 

Justeru, Program Pengurusan Kredit ini membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar dan berlakunya rampasan rumah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 

Yang turut hadir Ketua AKPK Cawangan Johor, Mohd. Fairuz Mohamed.

 

Swee Lian berkata, antara faktor kegagalan peminjam membayar balik pinjaman termasuk disebabkan perancangan kewangan yang lemah, berbelanja melampaui kemampuan, kegagalan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan masalah kesihatan.

 

Menurutnya, agensi berkenaan turut menawarkan Program Pendidikan Kewangan bertujuan memupuk tabiat meminjam secara lebih bijak dan pada masa sama menggalakkan budaya pembayaran semula pinjaman secara konsisten dan teratur.

 

Orang ramai yang ingin mendapatkan khidmat nasihat AKPK boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2575 atau melayari laman web www.akpk.org.my.