Rakyat kurang menyimpan

Categories

Petikan artikel dari Berita Harian27 Februari 2013

 

>> Kesedaran pengurusan kewangan di Malaysia masih lemah

 

Tahap kesedaran mengenai pengurusan kewangan di kalangan rakyat Malaysia agak membimbangkan apabila mendapati seorang daripada setiap lima penduduk negara ini langsung tidak mempunyai simpanan setiap bulan.

 

Menerusi kaji selidik yang dibuat menerusi Barometer Celik Kewangan Global Visa 2012, mendapati golongan muda yang berusia antara 18 hingga 24 tahun pula adalah kumpulan yang paling sukar untuk menepati pelan perbelanjaan kewangan apabila hanya 14 peratus berbuat demikian setiap bulan.

 

Didik golongan muda

Pengurus Negara Malaysia Visa, Stuart Tomlinson, berkata meskipun secara umumnya terdapat peningkatan mengenai tahap kesedaran pengurusan kewangan berhemah di kalangan rakyat negara ini, masih perlu ada usaha yang lebih giat untuk memberi pendidikan khususnya kepada golongan muda mengenai perkara itu.

 

Perlu pendidikan kewangan

“Hasil kajian daripada barometer itu mendedahkan bahawa golongan muda, terutama yang baru memasuki alam pekerjaan termasuk dalam kumpulan yang memerlukan pendidikan kewangan asas,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pertandingan Visa Financial Football di Kuala Lumpur, semalam.

 

Pertandingan yang diadakan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta lima institusi kewangan tempatan itu akan berlangsung dua bulan sehingga April. Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Eksekutif AKPK, Koid Swee Lian.

 

Mengikut barometer yang dibuat oleh penyedia perkhidmatan pembayaran globsl itu, responden dari Malaysia didapati membuat simpanan 2.2 bulan bagi tujuan kecemasan setiap tahun, sekali gus lebih tinggi berbanding purata kaji selidik iaitu dua peratus.