AKPK selesai 3,412 kes pengurusan wang

Categories

Artikel dari Berita Harian 11 Jun 2013

 

Georgetown: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan 3,412 kes pengurusan kewangan bermasalah, kebanyakan membabitkan golongan berumur antara 20 hingga 30 tahun, sehingga 30 April tahun ini. 

 

Kejayaan mengurangkan kadar jumlah hutang berkenaan dilakukan menerusi penawaran perkhidmatan kaunseling dan pengurusan kewangan berhemat yang dianjurkan agensi terbabit. 

 

Sehubungan itu, AKPK menyasarkan sejuta pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan pengurusan kewangan lebih berhemat, sekali gus membantu mengurangkan jumlah hutang isi rumah di negara ini. 

 

Momentum terbaik

Ketua Eksekutifnya, Koid Swee Lian, berkata tahun lalu pelanggan yang mendapat khidmat AKPK seramai 650,000 orang membabitkan pelbagai lapisan masyarakat. 

 

“AKPK mendapat momentum terbaik bagi mencari lebih ramai pelanggan, khususnya orang muda yang kini dilihat makin banyak menanggung hutang disebabkan ketidakcekapan menguruskan kewangan. 

 

“Melalui perkhidmatan pengurusan kewangan di AKPK, kebanyakan orang muda yang menjadi pelanggan kami mula menunjukkan hasil positif apabila didapati mereka lebih berjimat cermat dan suka menggunakan debit daripada kad kredit bagi mengelak beban hutang lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas majlis taklimat Pengurusan Kewangan di Bank Negara Pulau Pinang, di sini, semalam. 

 

Jalin kerjasama 

Swee Lian berkata, sasaran menambah lebih ramai pelanggan ke AKPK akan tercapai apabila agensi itu bekerjasama dengan 75 institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. 

 

“Selain bekerjasama dengan Bank Negara, AKPK juga bekerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta IPT awam dan swasta bagi mendekati golongan mahasiswa supaya bijak menguruskan kewangan. 

 

“Hasil kerjasama ini, AKPK berjaya menarik minat pengurusan IPT menawarkan kursus elektif sebanyak 40 jam kredit satu semester kepada mahasiswa mempelajari hal pengurusan kewangan secara berhemah,” katanya. 

 

Swee Lian berkata, pihaknya berharap dapat membantu lebih ramai anggota masyarakat menguruskan kewangan dengan bijak bagi mengelak bebanan hutang tinggi.