Peratusan Golongan Muda Malaysia Gagal Bayar Hutang Menurun, Kata AKPK

Categories

Petikan artikel dari BERNAMA Online10 Jun 2013

 

GEORGE TOWN, 10 Jun (Bernama) -- Peratusan golongan muda Malaysia yang gagal membayar hutang menurun kepada 10 peratus sehingga April tahun ini berbanding 15.8 peratus pada 2009, demikian menurut Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

Ia berkata generasi muda yang terlibat dalam program pengurusan hutang (DMP), lebih mahir dalam pengurusan kewangan dan kebanyakan mereka memilih menggunakan kad debit berbanding kad kredit.

 

"AKPK bimbang mengenai kumpulan umur 20 hingga 30 tahun memandangkan mereka sentiasa berhutang. Pengurangan ini menunjukkan petunjuk yang sihat," kata Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Koid Swee Lian, kepada pemberita selepas taklimat institusi kewangan di sini Isnin.

 

Beliau berkata AKPK berharap pendidikan kredit dan kewangannya akan sampai kepada satu juta orang tahun ini berbanding 650,000 orang pada 2009 menerusi pameran bergerak serta usaha sama pintar.

 

Koid berkata menerusi DMP, punca kegagalan tertinggi dalam membayar hutang disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah (23 peratus sehingga April tahun ini) dan kos perubatan yang tinggi (20 peratus).

 

Katanya sehingga April lepas, 3,412 kes berjaya dikeluarkan daripada DMP AKPK dengan jumlah baki hutang sebanyak RM130.86 juta.

 

Koid berkata AKPK, bersama rakan pintarnya -- Minggu Saham Amanah Malaysia, unit bergerak LINK Bank Negara Malaysia, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan institusi pengajian tinggi -- membantu mendidik orang ramai mengenai pengurusan hutang dan kewangan.

 

"Kira-kira 75 institusi pengajian tinggi juga menawarkan kursus pengurusan

kewangan peribadi yang berkesan bagi mengupayakan graduan muda supaya celik kewangan," katanya.

 

Ia antara lain membabitkan 40 jam pembelajaran, 14 jam pengajaran, lawatan belajar, peperiksaan dan seminar, katanya.

 

"Modul juga membabitkan program pengurusan aliran wang peribadi dengan yakin dan dapat membuat keputusan pengurusan kewangan dengan berhemat, empat jam yang dikenali sebagai Power!," katanya.