Usah pinjam Ah Long, pinjam dengan bank lebih selamat

Categories

Artikel dari ABN News13 Julai 2013

 

KUALA LUMPUR – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyarankan agar orang awam membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan sah yang dikawal selia oleh Bank Negara.

 

Langkah itu penting kerana institusi kewangan menawarkan kadar faedah berpatutan dan tidak membebankan.

 

Ia sekaligus dapat mengatasi masalah pinjaman daripada Ah long yang banyak menimbulkan masalah kerana mengenakan kadar bunga yang terlalu tinggi.

 

Perkara itu dinyatakan Pengurus Besar Bahagian Pengurusan Korporat AKPK Azman Hasim yang ditemui ABN News.

 

“Jika seseorang itu meminjam daripada Ah Long dia kena tahu bahawa risiko dia membayar balik pinjaman pada kadar faedah yang sangat tinggi.

 

“Lebih selamat saya boleh sarankan kepada orang ramai supay membuat pinjaman dengan bank yang dilesenkan yang sentiasa dikawal selia oleh bank negara,” kata beliau.

 

ABN News pada Rabu melaporkan terdapat ramai yang terjebak dengan hutang Ah Long.

 

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sama ada percaya atau tidak, jumlah hutang Ah Long yang dilaporkan kepadanya membabitkan nilai sebanyak RM22,782,774.00 dari awal tahun hingga 8 Julai lalu.

 

Apa yang menyedihkan, kebanyakan mangsa terdiri daripada mereka yang tamak dan terlalu ingin jadi cepat kaya.

 

Dalam pada itu, Azman memaklumkan, AKPK menyediakan perkhidmatan pendidikan kewangan tentang penggunaan kredit secara bertanggungjawab dan kemahiran pengurusan asas kewangan bagi mereka yang meminjam wang daripada institusi kewangan berlesen.

 

Sementara itu, AKPK juga menawarkan khidmat kepada orang ramai yang berdepan dengan masalah hutang.

 

Kata Azman, mereka yang terlibat perlu bertemu pihaknya secepat mungkin supaya masalah hutang seseorang itu tidak bertambah serius dan

membebankan.

 

“AKPK perlu mengambil masa agak panjang untuk berususan dengan pihak

bank, justeru mereka yang berdepan masalah hutang perlu segera menemui

kami.

 

“Mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan AKPK perlu melalui sesi

kauseling dan seterusnya mereka akan dibantu bagi menstruktur semula bajet

termasuk pembayaran hutang semula selaras dengan jumlah pendapatan

semasa,” katanya.

 

Azman menambah, sehingga Mei 2013, lebih 222,942 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling daripada AKPK dan 90,807 daripada

mereka telah dibantu melalui program pengurusan kredit.

 

“Apa yang menarik, mereka yang memasuki program pengurusan hutang di

bawah AKPK akan mendapat perlindungaan dari segi moratorium atas

tindakan undang –undang yang diambil pihak bank.

 

“Selama tempoh mereka berada dalam program pengurusan hutang AKPK,

segala tindakan undang-undang yang dimulakan pihak bank untuk

mendapatkan semula pinjaman itu akan dihentikan sementara,” ujar beliau.

 

Berdasarkan rekod AKPK, kaum lelaki dilihat tidak malu untuk bertemu AKPK

dan statistik menunjukkan 70 peratus pelanggan badan itu adalah kaum adam.

Menurut Azman lagi, sebagai jalan selamat, orang awam perlu berbelanja

mengikut kemampuan agar mereka tidak terjebak ke dalam beban hutang.