LPPKN jalin kerjasama dengan AKPK

Categories

Artikel dari Sinar Harian25 Julai 2013

 

KUALA LUMPUR - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalin kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi memberi pendidikan dari segi pengurusan kewangan kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

 

Ketua Pengarah LPPKN Dr Siti Norlasiah Ismail berkata Indeks Kesejahteraan

Keluarga Malaysia 2011 menunjukkan tahap ekonomi keluarga berada pada tahap yang paling rendah dan perlu dipertingkatkan untuk mencapai kesejahteraan negara.

 

Katanya inisiatif yang turut dijalin dengan sebuah badan bukan kerajaan itu sebagai memberi pendidikan mengenai kaedah untuk mengurus kewangan mereka dengan bijak.

 

"Apabila kajian ini dijalankan, ia mengesahkan bahawa keluarga mesti tahu cara mengurus tabungan keluarga walaupun dengan duit yang sedikit dan mereka juga didapati tidak menyediakan tabung kecemasan.

 

"Jika mereka tahu keutamaan yang perlu mereka belanja, maka mereka tahu cara mengurus wang mereka," katanya pada sidang media selepas memberi taklimat berhubung kajian tersebut, di sini hari ini.

 

Kajian yang merupakan inisiatif pertama anjuran LPPKN itu dilaksanakan pada setiap tiga tahun dan antara mekanisme untuk mengukur tahap kesejahteraan sesebuah keluarga di negara ini.

 

Ia telah dijalankan ke atas 2,808 buah isi rumah yang melibatkan 5,616 responden.

 

Hasil kajian mendapati Indeks Kesejahteraan Keluarga dicatatkan pada 7.55 pada skor maksimum 10, yang menunjukkan tahap kesejahteraan keluarga Malaysia berada pada paras yang sederhana.

 

Daripada tujuh domain yang dikenal pasti, domain Keluarga dan Agama/Kerohanian mencatatkan skor domain tertinggi iaitu 8.25, diikuti Keluarga dan Komuniti (7.83), Hubungan Kekeluargaan (7.82), Keselamatan Keluarga (7.39), Kesihatan Keluarga (7.38), Keluarga dan Persekitaran (7.28) dan Ekonomi Keluarga (6.9).

 

Dr Siti Norlasiah berkata LPPKN turut mengadakan program SMARTbelanja yang bertujuan mengawal pendapatan yang diperoleh melalui perbelanjaan berhemah kepada keluarga yang memerlukan nasihat berhubung kewangan.

 

Katanya masyarakat perlu dididik untuk mengurus kewangan dengan bijak dan kepentingan mempunyai simpanan terutama kepada golongan muda. - Bernama