Belanja berhemah elak beban hutang

Categories

Atrikel dari Utusan Malaysia10 Julai 2013

 

KUALA LUMPUR 10 Julai - Kegagalan individu merancang perbelanjaan secara berhemah terutama yang melibatkan penggunaan kad kredit boleh mengheret mereka kepada risiko bebanan hutang yang tinggi termasuk menjadi muflis, demikian menurut seorang perunding kewangan.

 

Perunding Kanan Kewangan Hijrah Wealth Management, Zulsaidi Redzwan berkata, setiap perbelanjaan yang dikeluarkan perlu ditentukan mengikut kemampuan individu serta tidak memberi bebanan hutang kepada mereka.

 

Merujuk kepada laporan media baru-baru ini, 23 peratus daripada 90,807 peminjam yang dibantu menerusi Program Pengurusan Kredit (DMP) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi tempoh 2007 hingga 31 Mei lepas, merupakan golongan yang memiliki perancangan kewangan yang lemah.

 

Kenapa tidak dapat mengawal perbelanjaan? Apakah barangan yang dibeli itu satu keperluan atau kehendak?

 

Zulsaidi berkata, tanpa membuat senarai perbelanjaan, seseorang individu akan mudah terjebak dengan penggunaan kad kredit secara berlebihan dan membuat pinjaman kewangan semata-mata untuk memuaskan keinginan serta kehendak peribadi.

 

"Rata-rata individu hari ini berbelanja mengikut nafsu terutama golongan bekerja makan gaji yang berasa selamat dan selesa kerana setiap bulan mereka akan memperoleh gaji bulanan.

 

"Paling membimbangkan apabila seseorang itu memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana mereka mudah terdorong untuk membeli barangan mewah dan berjenama," katanya kepada Bernama.

 

Zulsaidi berkata, punca lain keberhutangan ialah kos perubatan yang tinggi dan kehilangan pekerjaan.

 

Apakah langkah pengurusan perbelanjaan berhemah?

Beliau mengesyorkan agar setiap individu menggunakan sistem sampul yang dapat membantu mereka menguruskan perbelanjaan kewangan secara lebih konsisten.

 

"Sistem sampul ini bertujuan membantu mengasingkan duit gaji yang ingin dibelanjakan mengikut bahagian perbelanjaan seperti membeli-belah, melancong, berhibur atau ketika dalam situasi kecemasan.

 

"Cukup atau tidak cukup itu sahaja yang boleh dibelanjakan. Jika ada lebihan daripada gaji itu kita boleh jadikan simpanan," katanya. - BERNAMA