Program 1AZAM capai sasaran

Categories

Artikel dari Berita Harian28 Mei 2013

 

>> Lebih 70,000 peserta berjaya tingkatkan pendapatan

 

Padang Besar: Pendapatan lebih 70,000 peserta program 1AZAM berjaya ditingkatkan sekurang-kurangnya RM300 sebulan sejak program itu diperkenalkan pada 2010.

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, berkata kejayaan itu menunjukkan program berkenaan berada dalam landasan betul untuk membantu meningkatkan pendapatan rakyat.

 

Beliau berkata, jumlah itu kira-kira 70 peratus daripada 106, 947 peserta 1AZAM di seluruh negara yang berjaya menepati sasaran penganjuran program itu.

 

Tingkat pendapatan

Katanya 30 peratus daripada mereka masih belum mencapai sasaran peningkatan pendapatan pada kadar minimum RM300 sebulan berikutan pemilihan jenis perniagaan yang kurang sesuai.

 

“Ada peserta menjalankan perniagaan sajian yang hanya memperoleh keuntungan tambahan pada musim kenduri perkahwinan, manakala perniagaan biskut raya pula hanya mampu dijual pada musim perayaan, berbanding hari biasa.

 

“Kementerian melatih semula kumpulan itu untuk menambah baik perniagaan sedia ada supaya dapat meningkatkan pendapatan tambahan minimum yang disasarkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Program Penyerahan Peralatan 1AZAM peringkat negeri Perlis di Kampung Baru Sungai Serai, di sini, semalam.

 

Program itu dirasmikan Menteri Besar, Azlan Man. Sempena majlis itu, Rohani menyerahkan peralatan asas bagi memulakan perniagaan kepada 150 peserta AZAM Niaga peringkat negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM 750,000.

 

Rohani berkata, bermula tahun ini, peserta AZAM Niaga diwajibkan mengikuti program literasi kewangan menggunakan modul Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

 

“Tahun ini juga, semua peserta diwajibkan menjalani latihan asas penggunaan dan pengendalian peralatan dianjurkan kementerian bagi mendedahkan mereka kepada kaedah penggunaan peralatan yang dibekalkan,” katanya.