Kesempitan hidup punca ramai cerai: 'Urus kewangan perlu ditekan'

Categories

Artikel dari Berita Harian12 Ogos 2013

 

Kuala Lumpur: Topik pengurusan kewangan dalam Modul Bersepadu Kursus Pra-Perkahwinan Islam (MBKPI) perlu ditambah baik dan diberi penekanan bagi mengurangkan kadar perceraian akibat masalah berkaitan kewangan. 

 

Pengerusi Majlis Perunding Wanita Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (MPWIM YADIM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) perlu memandang serius perkara itu dengan menekankan topik mengenai bagaimana merencana pengurusan kewangan dalam institusi keluarga. 

 

“Topik itu perlu dikaji dan ditambah baik pengisiannya. Majoriti masalah dirujuk kepada MPWIM YADIM mempunyai kaitan rapat dengan pengurusan kewangan, pemberian nafkah zahir serta campur tangan pihak ketiga. 

 

“Tiga perkara itu sentiasa berkait rapat antara satu sama lain. Apabila ada campur tangan pihak ketiga, pelbagai masalah lain akan timbul termasuk pengurusan kewangan dan pemberian nafkah,” katanya ketika dihubungi BH.

 

Kualiti kehidupan 

Mengulas laporan BH semalam mengenai lebih 60 peratus kes perceraian dalam kalangan pasangan Islam di negara ini berpunca daripada masalah kewangan, beliau berkata, perceraian adalah isu besar yang perlu diberi perhatian kerana membabitkan pelbagai perkara termasuk kualiti kehidupan keluarga dan anak. 

 

“Banyak pihak akan terbabit jika berlaku perceraian. Selain itu, sikap tidak ‘ukur baju di badan sendiri’ dan suka berbelanja ‘besar kerak daripada periuk’ menyebabkan ramai terjerumus ke dalam masalah itu. Berbelanjalah ikut kemampuan, jangan terlalu ikut nafsu kerana selepas berkahwin, banyak lagi perkara perlu difikirkan,” katanya. 

 

Ketua Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaldin, pula berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan JAKIM bagi mengendalikan program pengurusan kewangan. 

 

“Pelbagai modul boleh disediakan AKPK seperti program khas ‘POWER! Pengurusan Wang Ringgit Anda’ yang diadakan selama empat jam tanpa bayaran. Ia merangkumi enam topik seperti pengurusan aliran tunai, asas meminjam, penggunaan kad kredit secara bijak, pembelian kereta dan rumah serta pengurusan hutang,” katanya. 

 

Katanya, sehingga Mei lalu, seramai 222,942 individu menjalani sesi kaunseling dengan AKPK dan 90,807 daripada mereka termasuk 42 peratus berusia antara 40 hingga 50 tahun dirujuk ke Program Pengurusan Kredit (PPK) selepas didapati tidak mampu mengawal selia sendiri masalah kewangan yang dihadapi.