Dibelenggu hutang, Xavier pernah terfikir bunuh diri

Categories

Petikan artikel dari Utusan Malaysia14 Ogos 2013

 

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Akibat terbelenggu dengan hutang kad kredit sehingga mencecah RM 30,000, Francis Xavier pernah terfikir mahu membunuh diri kerana sudah tidak tahan dengan tekanan daripada wakil pemungut hutang bank yang mengganggu hingga ke tengah malam.

 

Mujurlah ada seorang rakan menasihatinya supaya mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menawarkan bantuan menguruskan masalah hutang.

 

“Tanpa berlengah lagi saya pergi ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur. Segala bantuan yang diberikan AKPK menyebabkan saya kini berjaya menyelesaikan masalah kewangan dan sepatutnya semua pihak yang ada masalah sama juga perlu datang ke AKPK,” katanya di sini baru-baru ini.

 

Bagi dirinya, malu bukan lagi menjadi isu lagipun segala maklumat yang disalurkan kepada AKPK adalah sulit.

 

“Apa guna mahu malu lagi kerana gagal bayar hutang sehingga mungkin muflis, yang lebih memalukan,” ujarnya yang terbelit dengan hutang akibat kemelesetan ekonomi sehingga dia kehilangan pekerjaan.

 

Cerita kejayaan mengurus hutang melalui AKPK seperti yang dialami Francis bukanlah asing kerana perkhidmatan agensi itu bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah kewangan, malah pada masa sama membantu pelanggan untuk menikmati hidup tanpa gangguan agensi bank.

 

Kini, bilangan mereka yang mendapatkan khidmat AKPK juga semakin meningkat dari semasa ke semasa sehingga ada berjaya bebas daripada belenggu hutang dalam tempoh singkat.