Bolehkah Bergantung Harap Kepada Anak?

Categories

Artikel dari BERNAMA10 Mar 2014

 

Pengetahuan pengurusan kewangan, tidak hanya meliputi aspek perbelanjaan semasa sahaja kerana kewajaran pengetahuannya juga perlu merangkumi penyediaan menghadapi dunia persaraan. 

 

Biarpun demikian, agak menyedihkan apabila masih ramai yang leka akan kepentingan itu lantas mendedahkan mereka kepada sisi gelap dunia persaraan. Artikel bahagian pertama ini cuba mengupas serba sedikit mengenai perihal itu.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Jam dinding di Wad 3B Hospital Putrajaya, tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Pesakit telah lama tidur, manakala jururawat dan doktor yang bertugas malam sibuk melaksanakan rutin masing-masing.

 

Di laluan koridor wad, kelihatan seorang wanita tua berbaju hijau dan putih terbongkok-bongkok berjalan sambil tangannya membersihkan kotoran dan sampah yang terdapat di situ.

 

Tiada bebelan penat, tetapi kelibat wanita tua ini yang masih gagah meredah malam mencari rezeki halal, menggamit perhatian beberapa pelawat yang mengunjungi rakan mereka yang sedang nazak di wad berkenaan.

 

Dikenali sebagai 'asoh', usia wanita ini sudahpun menjangkau 62 tahun dan kata seorang jururawat, hari siangnya diisi pula dengan aktiviti berkebun.

 

Timbul persoalan, masa bilanya wanita ini berehat walhal pada usia begitu sepatutnya sudah lama dibuai mimpi malam dan bukannya masih memeras keringat mencari sumber pendapatan.

 

Hakikatnya, kisah 'asoh' ini antara realiti kehidupan apabila masih ada warga tua di luar sana yang terpaksa membanting tulang mencari rezeki halal demi menampung keperluan diri dan keluarga.

 

MENGAPA MASIH BEKERJA?

Pemandangan warga tua yang masih bekerja ini boleh dilihat di mana-mana sahaja. Ada yang menjadi pengawal keselamatan, tukang cuci dan tidak kurang juga memegang jawatan profesional.

 

Sebagai manusia biasa, semestinya akan terdetik kesedihan apabila melihat mereka yang sudah tua melakukan kerja-kerja berat, dikasari, dimarahi ataupun terpaksa bekerja dalam keadaan tidak sihat bagi mencari sesuap nasi.

 

Walhal, dunia persaraan sepatutnya menjadi saat bagi mereka untuk merehatkan diri setelah bertungkus-lumus, berhempas-pulas dengan dunia pekerjaan bertahun-tahun lamanya sebelum ini.

 

Mereka sepatutnya tidak perlu lagi memikirkan apa-apa pelunasan kerja pada masa ini melainkan meluangkan masa bermain bersama cucu ataupun melancong ke tempat idaman yang mungkin sebelum ini terbatas pergerakan berikutan komitmen tugas.

 

Akan tetapi, ketidakcukupan wang persaraan menyebabkan ramai warga tua terpaksa melupakan kehidupan selesa dan impian indah itu selepas bersara sehingga memerlukan mereka untuk bekerja balik, kata Ketua Bahagian Pendidikan Kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Mohd Adnan Anan Abdullah.

 

"Golongan tua yang bekerja balik ini ada dua. Satu, mereka yang memerlukan pekerjaan pada usia emas kerana ingin menampung diri dan keluarga manakala yang keduanya adalah mereka yang masih komited kepada kerjaya.

 

"Mereka ingin lagi berkhidmat kerana mahu menyumbang sesuatu kepada masyarakat, ingin sentiasa produktif dan mengaktifkan minda," katanya kepada Bernama.

 

HARAP ANAK

Ada banyak sebab mereka terpaksa bekerja balik antaranya berkahwin pada usia sedikit lewat dan perlu menanggung anak yang masih kecil, membayar ansuran pinjaman rumah atau kereta yang mana tempohnya telah melewati usia persaraan.

 

Mereka juga gagal menyedari akan kepentingan menabung pada usia muda yang mungkin disebabkan oleh kepelbagaian komitmen, gaji rendah dan kos hidup semakin meningkat.

 

Akan tetapi, paling membimbangkan apabila terdapat tanggapan 'perancangan persaraan' adalah tinggal bersama anak atau menyerahkan tanggungjawab itu kepada mereka sehingga merasakan tiadanya keperluan untuk menabung.

 

Persepsi ini sebenarnya mendedahkan ibu bapa kepada risiko kehidupan tidak menentu biarpun tidak dinafikan adalah menjadi kewajipan anak menjaga mereka, kata Mohd Adnan Anan.

 

Tidak menjadi masalah, sekiranya anak menyedari akan tanggungjawab itu. Tetapi, bagaimana pula dengan mereka yang sengaja melepaskan diri, tidak mahu bersusah-payah menjaga ibu bapa kerana menganggapnya sebagai beban?

 

Terdapat kemungkinan, sikap itu mendorong anak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua ataupun meninggalkannya di tepi jalan sepertimana beberapa kes yang didengari sebelum ini, kata Mohd Adnan Anan.

 

Barangkali masyarakat masih ingat mengenai paparan kisah seorang ibu yang lumpuh ditinggalkan terbiar oleh anak tunggalnya di sebuah hotel bajet sehingga meruntun hati ramai pihak.

 

Awal Januari ini juga, masyarakat membuka lembaran tahun baharu dengan kisah menyayat hati empat warga tua yang dijumpai dalam keadaan tidak terurus di sebuah rumah orang tua yang sudah terbiar.

 

Tidak tahu di mana silap serta ke manakah menghilangnya keprihatinan si anak, senario itu memberi impak jelas akan kepentingan mempunyai dana persaraan sendiri selain penggantungan kepada anak.

 

'SANDWICH GENERATION'

Pertikaian mengenai kewajaran pergantungan ini juga membawa kepada satu keadaan yang mungkin dianggap remeh oleh segelintir pihak tetapi sebenarnya antara masalah kronik yang dihadapi generasi muda hari ini.

 

Ini merujuk kepada trend 'sandwhich generation' atau sistem keluarga generasi berlapis yang mana individu itu berhadapan dengan pelbagai tanggunggan pada satu-satu masa yang mana senario ini memerlukan perhatian serius.

 

"'Sandwich generation', di mana individu yang bekerja bukan sahaja terpaksa menanggung isteri dan anak malah ibu bapa, adik beradik, datuk dan nenek.

 

"Cuba bayangkan berapa banyak pendapatan yang individu ini perlukan setiap bulan untuk menanggung kesemua perbelanjaan sedemikian," katanya.

 

Disebabkan permasalahan ini, ada anak mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa.

 

Keputusan ini mungkin bukan lahir dari hati mereka tetapi terpaksa diambil berikutan pendapatan atau gaji yang diterima kecil, dirasakan tidak mencukupi untuk menyara ibu bapa selain daripada tanggunggan lain. 

 

Isu mengenai pergantungan ini terus dipersoalkan apabila terdapat anak yang masih meminta pertolongan berupa wang ringgit daripada ibu bapa mereka lantas menjurus kepada kepentingan mempunyai dana persaraan sendiri, tegas Mohd Adnan Anan.

 

KURANG PENGETAHUAN

Walaupun senario ini agak sukar diterima, sewajarnya ia memberi kesedaran mengenai kepentingan untuk meningkatkan pengetahuan berhubung persediaan awal hari persaraan individu.

 

Satu kajian yang dilakukan oleh HSBC pada Julai-Ogos 2012, mendapati 43 peratus daripada 1,000 responden Malaysia tidak mempunyai persediaan yang cukup menghadapi masa itu.

 

Kajian itu juga mendedahkan sebanyak 18 peratus mereka yang tidak bersedia untuk dunia itu adalah dalam kalangan kumpulan umur 55-64 tahun dan ini mungkin disebabkan mereka tidak didedahkan dengan kepentingan perancangan awal persaraan.

 

Polemik mengenai kurangnya ilmu pengurusan kewangan juga pernah disuarakan oleh Pengerusi Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Tan Sri Samsudin Osman.

 

Beliau ketika berucap pada seminar 'Ke Arah Menjamin Persaraan Selesa' melahirkan kebimbangan apabila kebanyakan rakyat Malaysia tidak memikirkan tentang persaraan walaupun hanya tinggal lima hingga 10 tahun sahaja lagi untuk mereka menempuhnya.

 

Dan, antara sebabnya tidak membuat perancangan ialah tidak mempunyai pengetahuan berhubung kewangan.

 

Dalam waktu sedemikian, bukan sahaja sudah terlewat untuk menabung malahan ujar Adnan ada yang menyedari kepentingan itu apabila wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) habis digunakan.

 

"Pada masa itu, hendak menyesal pun sudah tidak berguna... nasi sudah menjadi bubur dan disebabkan itulah ada yang terpaksa bekerja balik," katanya sambil menambah masyarakat boleh merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan.