Celik kewangan bantu tangani kos hidup

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia13 Mac 2014

 

KUALA LUMPUR 13 Mac - Masyarakat Malaysia perlu celik kewangan bagi membantu menangani kos sara hidup yang tinggi pada waktu ini dan tidak terjerumus ke arah muflis.

 

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Azman Hasim berkata, masyarakat yang celik kewangan dapat menguruskan kehidupan dengan baik.

 

Katanya, masyarakat perlu mengetahui peranan masing-masing dalam menguruskan kewangan secara berhemah dan tidak terjerat dengan hutang yang membebankan.

 

Sebagai contoh, seseorang mahu membeli rumah. Dia perlu memikir terlebih dahulu beberapa faktor seperti komitmen bulanan dan pengurusan aliran tunai yang baik, katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pertandingan Bola Sepak Kewangan Visa 2014 anjuran Visa dan AKPK di sini semalam.

 

Yang turut hadir Pengarah Pembangunan Perniagaan Visa International (Asia Pacific) LLC, Ng Kong Boon, legenda bola sepak Malaysia, Datuk Soh Chin Ann dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak.

 

Pertandingan itu yang dijalankan secara dalam talian bermula semalam sehingga 16 April depan dan pemenang akan menerima hadiah percutian ke Brazil bagi menonton satu perlawanan Piala Dunia FIFA 2014.