Perbelanjaan berhemah tangani kos sara hidup

Categories

Artikel dari Sinar Harian13 Mac 2014

 

AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) saran orang ramai melakukan penyesuaian pengurusan kewangan dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

 

Pengurus Besar Bahagian Khidmat Korporat AKPK, Azman Hasim berkata, orang ramai harus peka melakukan penyesuaian melalui pengurusan kewangan mereka supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan.

 

“Apa perlu kita lakukan adalah susun semula perbelanjaan kita supaya mempunyai lebihan melalui pendidikan kewangan seperti gariskan bajet kewangan, kemudian sesuaikannya mengikut pendapatan supaya dapat atasi masalah defisit perbelanjaan.

 

“Selari dengan itu, AKPK perkenalkan program literasi kewangan pada 2006 dalam menyediakan bimbingan dan nasihat pengurusan kewangan kepada orang ramai,” katanya di perasmian pertandingan bola sepak kewangan 2014, di Kuala Lumpur, semalam.

 

Menurutnya, dalam melaksana penyesuaian pengurusan kewangan individu harus tahu tiga kumpulan perbelanjaan.

 

“Pertama, perbelanjaan tetap bulanan seperti bayaran kereta dan rumah, kedua perbelanjaan boleh ubah seperti servis kereta atau bil televisyen berbayar yang boleh dikurangkan jika perbelanjaan bulanan melebihi sepatutnya.

 

“Ketiga, perbelanjaan budi bicara iaitu kemahuan yang boleh ditangguh jika keadaan kewangan tidak mengizinkan, sekiranya ketiga-tiga ini diurus bijak, ia akan mudahkan orang ramai kurangkan perbelanjaan sekali gus beban kos sara hidup,” katanya.

 

Pertandingan bola sepak kewangan 2014 anjuran bersama Visa Malaysia bagi tahun kedua adalah bagi memupuk budaya pengurusan kewangan dengan menawarkan hadiah utama peluang ke piala dunia FIFA 2014 Brazil.