Tingkat pengetahuan kewangan

Categories

Artikel dari Harian Metro13 Mac 2014

 

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menggesa orang ramai supaya meningkatkan pengetahuan mengenai pendidikan kewangan terutama ketika negara sedang mengalami peningkatan kos sara hidup kerana ia adalah satu cara bagi membolehkan mereka menguruskan kewangan peribadi dengan baik.

 

Pengurus Besar Perkhidmatan Korporatnya, Azman Hashim berkata, orang ramai perlu menyesuaikan perbelanjaan masing-masing dengan situasi semasa bagi memastikan mereka dapat mewujudkan lebihan wang sekali gus tidak terbabit dalam beban hutang bagi tempoh jangka panjang.

 

“Oleh itu, kami menyeru supaya orang ramai mendapatkan khidmat kaunseling mengenai pengurusan kewangan peribadi di mana ia ditawarkan secara percuma melalui 11 cawangan kami di seluruh negara dan 10 cawangan kaunseling di lokasi bank terpilih,” katanya pada majlis pelancaran Pertandingan Bolasepak Kewangan Malaysia 2014, semalam.

 

Sehingga kini, seramai 252,256 individu sudah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan 102,385 individu pula mendapat perkhidmatan Program Pengurusan Hutang (DMP) sejak ditubuhkan pada 2006. 

 

Beliau berkata, orang ramai perlu menyesuaikan perbelanjaan peribadi masing-masing berdasarkan tiga kriteria utama iaitu perbelanjaan tetap, perbelanjaan boleh ubah dan perbelanjaan budi bicara iaitu berkaitan kehendak peribadi masing-masing.

 

Dalam perkembangan sama, Pertandingan Bolasepak Kewangan Malaysia 2014 adalah acara yang memasuki tahun kedua penganjurannya dengan kerjasama antara AKPK dan Visa Malaysia bertujuan menggalakkan amalan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

 

Acara itu akan bermula pada 12 Mac hingga 16 April ini secara atas talian melalui www.my.financialfootball.com dengan sepuluh peserta yang memilik markah tertinggi akan dijemput bertanding pada peringkat akhir bagi memenangi hadiah percutian ke Brazil bagi menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2014 di Brazil.

 

Ia turut mendapat kerjasama daripada tujuh institusi kewangan seperti Aeon Credit Services, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank, dan United Overseas Bank (UOB).