Perundingan Celik Kewangan Secara Percuma Untuk Rakyat Malaysia :AKPK

Categories

Artikel dari BERNAMA,12 Mac 2014

 

KUALA LUMPUR, 12 Mac ( Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menggesa rakyat Malaysia supaya menggunakan perkhidmatan perundingan celik kewangannya secara percuma sebagai satu cara untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

 

Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporatnya Azman Hasim berkata dengan kenaikan kos sara hidup, rakyat Malaysia perlu merancang perbelanjaan mereka supaya tidak menjadi beban dalam jangka panjang.

 

"Dengan perancangan dan perbelanjaan yang betul, mereka juga boleh mengelak daripada diisytiharkan muflis. Tidak ramai yang tahu bahawa tahap hutang seseorang itu sebelum diisytiharkan bankrap. Jawapannya ialah RM30,000.

 

"Ini yang ramai orang tidak tahu dan kami mahu mendidik mereka. Secara percuma," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Visa Financial Football di sini Rabu.

 

Azman berkata celik kewangan penting terutama bagi mereka yang merancang untuk membeli rumah.

 

"Terdapat beberapa faktor yang perlu melihat sebelum seseorang meneruskan pembelian supaya tidak akan menjadi beban dalam jangka panjang.

 

"Pembeli kali pertama perlu mengetahui dengan pendapatan beliau, jenis rumah yang bagaimana yang boleh dibeli. Pada masa kini ramai orang cenderung untuk membeli apa yang mereka tidak perlukan dan berakhir dengan berhutang.

 

"Oleh itu AKPK menyasar untuk mendidik rakyat Malaysia di 11 cawangannya di seluruh negara serta 10 bank lain yang mengambil bahagian," kata beliau.

 

Agensi itu turut menasihatkan rakyat Malaysia agar menyesuaikan perbelanjaan mereka mengikut tiga kategori iaitu perbelanjaan tetap seperti bayaran untuk kereta dan rumah, perbelanjaan boleh ubah seperti penyelenggaraan kereta dan apa yang mereka mahu, seperti membeli telefon bimbit baharu.

 

Sementara itu, agensi itu hari ini bekerjasama buat kali kedua dengan Visa Worldwide Pte Ltd untuk memberi pendidikan kewangan dan menawarkan rakyat Malaysia peluang untuk memenangi perjalanan ke pertandingan akhir Piala Dunia FIFA 2014 di Brazil.

 

Pertandingan dalam talian itu boleh diakses melalui www.my.financialfootball.com serta laman web AKPK dan bank rakan kongsi.

 

Terdapat tujuh peserta iaitu Aeon Credit Services, Bank Islam, BSN, Hong Leong Bank, Maybank, Public Bank dan UOB.