Hutang RM30,000 jadikan individu muflis

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia13 Mac 2014

 

KUALA LUMPUR 12 Mac - Majoriti rakyat di negara ini masih tidak mengetahui bahawa kadar minimum hutang tidak berbayar iaitu sebanyak RM30,000, boleh menyebabkan individu dikenakan tindakan muflis.

 

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaldin berkata, ramai yang tidak mengetahui fakta tersebut dan itu amat mengecewakan pihaknya.

 

Malah, jelas beliau, ramai yang bermasalah dalam pengurusan kewangan pada waktu ini masih malu untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan, selain tidak mendapatkan nasihat kewangan menerusi saluran yang betul iaitu AKPK.

 

Kami telah meletakkan soalan di dalam akaun sosial Facebook mengenai kadar minimum hutang tidak berbayar yang boleh menyebabkan seseorang boleh jatuh muflis, namun, tiada seorang pun yang menjawab dengan tepat.

 

Malah, ramai yang tidak percaya bahawa kadar hutang tidak berbayar yang boleh meletakkan seseorang dalam status muflis adalah RM30,000, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pertandingan Bola Sepak Kewangan Visa 2014 di sini hari ini.

 

Yang turut hadir, Pengarah Visa Negeri Negara Malaysia, Stuart Tomlinson; Pengarah Urusan AKPK, Azman Hashim; bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Soh Chin Ann dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak.

 

Setakat 31 Januari 2014, sebanyak 252,256 individu telah pun menghadiri sesi kaunseling di AKPK dan daripada jumlah itu, 102,385 individu telah didaftarkan di dalam Program Pengurusan Hutang AKPK.

 

Tambah Mohamad Khalil, AKPK telah menjalankan siri penerangan kepada masyarakat mengenai celik kewangan di seluruh negara sejak 2006.

 

Bagaimanapun katanya, siri penerangan itu langsung tidak melibatkan tawaran pinjaman atau pelupusan hutang individu.

 

Kami bukan perantara yang memberi pinjaman atau penyelesai hutang orang ramai, sebaliknya AKPK adalah agensi yang bertauliah dalam memberi khidmat rundingan dan bimbingan mengenai perancangan kewangan yang lebih baik, ujarnya.

 

AKPK menawarkan perkhidmatan secara percuma, sulit dan penuh kerahsiaan. Agensi itu menjadi perantara dan perancang yang baik di antara individu yang mempunyai masalah kewangan dengan pihak bank.