Tak penting siapa latih Harimau Malaya

Categories

Artikel dari Utusan Malaysia13 Mac 2014

 

KUALA LUMPUR - Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun berpendapat siapa pun yang bakal membimbing skuad Harimau Malaya tidak penting sebaliknya pembangunan akar umbi perlu menjadi tumpuan andai kita mahu mencipta kejayaan pada masa akan datang.

 

Malah bekas ketua pasukan negara itu percaya, jurulatih asing atau tempatan yang bakal dilantik untuk membimbing pasukan negara hanya mampu memberikan impak yang tidak terlalu besar buat Harimau Malaya ketika ini.

 

Tegas Chin Aun, sekiranya Malaysia mengimpikan untuk menjadi pasukan yang hebat di peringkat dunia maka Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga perlu mencari seorang jurulatih yang hebat bagi membimbing pasukan remaja kebangsaan.

 

Katanya, bagi mencapai kecemerlangan yang besar memerlukan masa yang panjang dan kerana itu pasukan pelapis negara perlu diperkukuhkan dengan baik bermula dari sekarang.

 

Siapa pun yang akan membimbing pasukan kebangsaan sama ada jurulatih asing atau tempatan, kita tidak boleh meletakkan harapan yang tinggi kepadanya untuk memberikan impak yang besar kepada pasukan sedia ada kerana tahap bola sepak kita masih belum berada di tahap tertinggi.

 

Sebaliknya generasi akan datang yang akan mewakili pasukan kebangsaan perlu mendapat perhatian lebih kerana mereka ini berupaya cemerlang jika mendapat bimbingan jurulatih hebat," katanya selepas pelancaran program kemahiran kewangan anjuran Visa dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Malaysia (AKPK), di sini semalam.

 

Hadir sama, Pengurus Besar, Bahagian Servis Korporat AKPK, Azman Hashim, Pengarah Pembangunan Perniagaan Visa Malaysia, Ng Kong Boon dan penyerang Johor Darul Tazim II, Zaquan Adha Abdul Razak.

 

Program tersebut memberikan peluang buat rakyat Malaysia menyaksikan Piala Dunia 2014 di Brazil andai memenangi pertandingan permainan video bola sepak kewangan secara dalam talian yang bermula semalam hingga 16 April 2014.

 

Chin Aun turut berharap Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim diberikan kebebasan sepenuhnya dalam usaha mempertingkatkan kualiti bola sepak di negara ini.

 

Kata bekas pemain pertahanan itu, ilmu dan pengalaman yang dimiliki bekas penolong jurulatih bawah 19 tahun di akademi Bayern Munich itu amat diperlukan untuk membantu sukan bola sepak berada pada tahap yang terbaik.

 

Saya juga harap tiada orang yang tidak tahu berkaitan bola sepak mengganggu tugasnya dalam merencana pembangunan sukan tersebut.

 

Kita tak mahu orang yang tidak minat dengan bola sepak juga campur tangan dalam tugasnya (Teong Kim) kerana tidak baik untuk pembangunan bola sepak," kata Chin Aun.