AKPK selesai 4,806 kes hutang individu

Categories

Artikel dari Berita Harian13 Mac 2014

 

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) berjaya menyelesaikan masalah kewangan 4,806 individu sejak 2006 sehingga 31 Januari lalu, dengan jumlah gabungan hutang RM189.6 juta menerusi Program Pengurusan Kredit (PPK).

 

PPK ialah program yang dilaksanakan AKPK bagi membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam melunaskan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup.

 

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Mohamad Khalil Jamaldin, berkata perangkaan itu secara tidak langsung menunjukkan AKPK berjaya membimbing individu yang mempunyai masalah pengurusan kewangan dengan meningkatkan keyakinan mereka membuat keputusan kewangan secara bertanggungjawab.

 

Beliau berkata, setakat 31 Januari lalu, seramai 252,256 individu menerima perkhidmatan kaunseling pengurusan kewangan daripada AKPK sejak ia ditubuhkan.

 

“Daripada jumlah itu, 40.6 peratus atau 102,385 orang dirujuk di bawah PPK,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran pertandingan Visa Financial Football Malaysia 2014 di Kuala Lumpur, semalam.

 

Perancangan lemah

Hadir bersama ialah Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat, Azman Hasim dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Visa International (Asia Pacific) LLC bagi Pejabat Perwakilan Malaysia, Ng Kong Boon.

 

Mohamad Khalil berkata, berdasarkan perangkaan yang dikumpulkan AKPK menunjukkan 22.8 peratus punca kegagalan hutang individu yang dirujuk di bawah PPK membabitkan masalah perancangan kewangan lemah, perbelanjaan perubatan yang tinggi (17.9 peratus) dan kegagalan atau kelembapan perniagaan (15.4 peratus).

 

Hilang pekerjaan

Kegagalan mengawal penggunaan kad kredit mewakili 11.1 peratus daripada punca kegagalan hutang, hilang pekerjaan (9.9 peratus), taraf hidup yang tinggi (4.6 peratus) dan lain-lain (4.6 peratus), katanya.

 

Sementara itu, Azman berkata, agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia itu menawarkan perkhidmatan kaunseling pengurusan kewangan secara percuma kepada orang ramai.

 

Beliau berkata, dengan kenaikan kos sara hidup ketika ini, orang ramai perlu merancang perbelanjaan mereka supaya tidak menjadi beban dalam jangka panjang.

 

Katanya, dengan perancangan dan perbelanjaan yang betul, mereka juga boleh mengelak daripada diisytiharkan muflis.