Kita perlu realistik

Categories

Artikel dari Harian Metro13 Mac 2014

 

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Aun berpendapat walau sesiapa saja yang menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan Datuk K Rajagopal, baik jurulatih import mahupun tempatan, ia tetap tidak akan membawa impak mendalam terhadap prestasi Harimau Malaya.

 

“Bagi saya, kita perlu realistik dengan melihat kemampuan pemain yang kita ada ketika ini. Jika kita ambil jurulatih luar yang hebat sekalipun, belum tentu beliau dapat membawa kesan dan impak kepada pasukan kebangsaan.

 

“Siapapun dilantik nanti, saya rasa tidak banyak yang beliau mampu lakukan. Jangan letakkan harapan terlalu tinggi terhadap jurulatih itu kerana standard pemain kita sebenarnya hanya di peringkat rantau ini. 

 

“Apa yang lebih penting dan mustahak, generasi akan datang, maksud saya kita seharusnya memikirkan soal pembangunan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Pertandingan Bola Sepak Kewangan 2014, di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.

 

Arena Metro kelmarin melaporkan FAM sudah menyenarai pendek enam jurulatih asing termasuk dua calon baru membabitkan bekas pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United dan Aston Villa, David O'Leary serta jurulatih berbangsa Itali, Fabio Lopez.

 

Selain dua jurulatih itu, FAM turut mengintai empat calon lain - Peter Reid (bekas jurulatih Thailand), Bob Houghton (bekas jurulatih China), Zdenek Zemen (bekas jurulatih AS Roma) dan Marcel Desailly (bekas pemain kebangsaan Perancis).

 

“Seharusnya kita perlu mencari jurulatih yang hebat untuk peringkat akar umbi bukannya senior. Bila kita ada bakat yang bagus, saya yakin impian melangkah ke pentas lebih tinggi akan tercapai,” katanya.

 

Chin Aun, 62, yang juga dikenali sebagai Tauke berkata, beliau memuji usaha dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta FAM dalam mewujudkan Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia.

 

“Pada saya pemilihan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia itu amat tepat. Teong Kim memiliki pengalaman di samping ilmu yang banyak dalam membimbing sesebuah pasukan.

 

“Saya harap janganlah ada mana-mana pihak yang mengganggu tugas Teong Kim. Biar beliau buat kerja dan saya yakin kita akan dapat melihat kelompok pemain muda berbakat dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang,” katanya.

 

Teong Kim yang juga bekas pemain kelab Hertha Berlin 87 dalam kancah Bundesliga pernah menjadi pembantu jurulatih skuad bawah 19 tahun Bayern Munich selama enam tahun.