Simpanan hari tua

Categories

Artikel dari Berita Harian12 Jun 2014

 

>> Sediakan pelan persaraan kedua, tambah aset elak masalah kewangan pada hari tua

 

Meniti usia emas, lazimnya tidak ada yang apa diinginkan kecuali hidup bahagia bersama pasangan dan bebas daripada bebanan hutang-piutang sebaik saja sudah pencen. 

 

Realitinya, tidak semua gembira selepas bersara kerana sesetengahnya perlu melangsaikan banyak hutang bank. Pada usia itu, kudrat terbatas dan tidak produktif lagi untuk bekerja, malah mungkin tiada majikan sudi menggaji mereka. 

 

Ketika itulah kesal kerana tidak membuat perancangan kewangan kerana menjangkakan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi. 

 

Mengikut anggaran caruman KWSP hanya bertahan sekitar lima hingga enam tahun saja. 

 

Anggaran itu jika caruman KWSP berjumlah RM150,000 dengan purata perbelanjaan RM2,000 sebulan. Jumlah itu pula hanya mampu menampung usia sehingga 60 tahun, sedangkan jangka hayat lelaki Malaysia ialah 70 tahun manakala wanita 75 tahun. 

 

Dalam keadaan sekarang, individu perlu terus bekerja walaupun sudah bersara berikutan lebih 50 peratus pekerja di kebanyakan negara menghadapi masalah kewangan. 

 

Rancang kewangan 

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah agensi yang ditubuhkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memberi perkhidmatan pendidikan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit. 

 

Ini bagi membolehkan masyarakat menguruskan hutang dengan bijak sekali gus memastikan sektor isi rumah mendapatkan nasihat, bantuan berhubungan kewangan dan pengurusan kredit. 

 

Menerusi agensi ini, ia diharap membimbing peminjam dan orang ramai memahami penyelesaian masalah kewangan dengan baik. Agensi terbabit menyediakan perkhidmatan seperti pendidikan kewangan termasuk kemahiran pengurusan asas kewangan. Program itu termasuk taklimat dan penerangan kepada kumpulan sasaran.

 

Program POWER pula yang dianjurkan AKPK dilihat membantu meningkatkan keyakinan dan kebolehan individu membuat keputusan kewangan dengan cekap bagi menggalakkan perbelanjaan yang bijak.

 

Sejak beroperasi pada April tahun 2006, selain beribu pejabat di Kuala Lumpur, AKPK juga dibuka di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu, Melaka, Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Alor Setar dan Kota Bharu.

 

Menabung dari awal

Pengurus Jabatan Pendidikan Kewangan AKPK, Nor Akmar Yaakub, berkata perkara pertama yang perlu dilakukan sebaik menerima gaji adalah mengasingkan 10 peratus gaji sebagai simpanan.

 

“Ini bagi mengelakkan perbelanjaan di luar kemampuan dan usaha menyimpan untuk hari tua perlu dilakukan awal sebelum mencapai had umur persaraan.

 

“Jika kita merakan wang KWSP tidak mencukupi untuk menampung kos persaraan, kota harus bertindak segera merancang persaraan termasuk mencari pendapatan pasif.

 

“Perancangan ini penting kerana apabila seseorang mula bersara, tidak lagi memperoleh pendapatan aktif dan sebaliknya banyak bergantung kepada pendapatan pasif namun lama-kelamaan ia menyusut,” katanya kepada Famili, baru-baru ini.

 

Jangan berbelanja mewah

Nor Akmar berkata, selain memulakan simpanan awal, seseorang perlu menguruskan hutang mereka dengan bijak termasuk tidak memanjakan diri dengan keluarga dengan sesuatu yang tidak penting.

 

“Misalnya, jika sudah bersara, tidak perlu menukarkan kenderaan yang lebih mewah, berbelanja besar untuk perkahwinan anak menerusi simpanan KWSP.

 

“Bayangkan jumlah RM150,000 itu hanya mampu bertahan sekitar lima tahun, sedangkan pada usia sebegitu, perbelanjaan perubatan juga perlu difikirkan sekiranya umur mereka masih panjang dan tidak mungkin lari daripada pelbagai penyakit,” katanya.

 

DMP bantu 105,560 pelanggan

Program pengurusan kredit (DMP) AKPK dilihat sebagai penyelesaian terbaik untuk pengurusan pembayaran hutang dan perbelanjaan hidup.

 

Nor Akmar berkata, mengikut statistik sehingga 31 Mac lalu, seramai 261,578 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan 105,560 daripadanya dibantu menerusi DMP.

 

“Dalam kebanyakan kes, masalah dihadapi ialah faktor ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan perancangan kewangan lemah, tiada pendedahan pengurusan kewangan selain gemar berbelanja di luar kemampuan.

 

“Ada juga faktor diluar jangkaan seperti masalah kesihatan, kematian pasangan, kehilangan pekerjaan dan kegagalan perniagaan selain terpaksa menanggung anak cucu yang menghadapi perceraian,” katanya.