Buat simpanan sebagai aset

Categories

Artikel dari Berita Harian12 Jun 2014

 

Bagi ibu tiga cahaya mata, Amila, 29, beliau memulakan simpanan untuk semua anaknya menerusi pelaburan insurans sebagai persediaan jika berlaku perkara tidak diingini.

 

“Ketiga-tiga anak saya yang berusia enam bulan dan enam tahun masing-masing mempunyai polisi insurans selain menikmati pertambahan daripada dividen setiap tahun.

 

“Keadaan ini mendidik saya mengurus kewangan keluarga sekali gus membantu merancang perbelanjaan dan tidak boros berbelanja,” katanya.

 

Urus secara berhemah

Amila berkata, simpanan untuk kecemasan juga penting selain memperuntukkan jumlah tertentu dalam saham amanah untuk menambah aset.

 

“Saya mengunjungi AKPK untuk mendapatkan rundingan kewangan supaya berupaya menguruskan perbelanjaan dengan lebih berhemah. Ramai orang beranggapan mereka yang berkunjung agensi ini menghadapi masalah kewangan, sebenarnya tidak,” katanya.

 

Beli amanah saham

Sementara itu, Mona, 35, berkata sejak tamat pengajian di universiti, beliau dan seorang rakan baiknya berikrar untuk memperoleh sejumlah tabungan.

 

“Misalnya, pada usia 25 tahun, saya membeli rumah dan kereta. Saya berjaya laksanakan. Tabungan digunakan sebagai pendahuluan rumah dan kereta.

 

“Saya juga menetapkan 20 peratus daripada gaji saya dimasukkan dalam amanah saham dan dividennya setiap tahun tidak diambil sebagai pelan persaraan kedua selepas KWSP,” katanya.

 

Mona berkata, tujuannya simpanan itu adalah sebagai perancangan kewangan jangka pendek dan jangka panjang memandangkan usianya masih muda.