5 perangkap hutang

Categories

Artikel dari Harian Metro27 Jun 2014

 

Amalan menabung mempunyai banyak kebaikannya. Selain dapat menyediakan kewangan masa depan, tabiat menabung yang diajar sejak kecil membantu mengelakkan pembaziran dan mencegah tabiat berhutang.

 

Namun, amalan baik yang disemai sejak kecil itu tidak menjanjikan mereka bebas daripada hutang. Ada sesetengah individu berhutang kerana mengambil mudah masalah berkenaan.

 

Ia disebabkan mereka tahu ada banyak agensi mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedia membantu menyelesaikan masalah hutang yang dihadapi. 

 

Ada orang berhutang kerana mahu menunjuk-nunjuk dan tidak kurang juga disebabkan terpaksa untuk memenuhi tuntutan hidup.

 

Namun sedarkah kita, berhutang bukan saja membebankan diri sendiri malah ia juga boleh mengganggu perasaan jika jumlah hutang yang dipinjam agak besar dan sukar dilunaskan dalam tempoh ditetapkan.

 

Perancangan kewangan yang lemah dan tabiat berbelanja tidak mengikut kemampuan adalah faktor utama bertambahnya bebanan hutang serta ketidakupayaan membayar balik pinjaman.

 

Bukan hanya golongan dewasa, ada juga generasi muda yang terjebak dalam kancah hutang termasuklah mereka yang baru menjengah dunia pekerjaan.

 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai isu hutang, ikuti sesi soal jawab bersama Ketua Cawangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Johor, Mohd Nasir Mustafa.

 

 

Soalan (S): Mengapa kebanyakan kita gemar berhutang walaupun untuk membeli barangan yang tidak penting?

 

Jawapan (J): Mereka yang berhutang biasanya disebabkan oleh lima perkara iaitu personaliti, pengaruh persekitaran, promosi, pujian dan perasaan serta ‘pokai’.

 

1. Personaliti

Tabiat semula jadi yang suka berhutang. Ia menjadi kebiasaan kepada individu berkenaan apatah lagi jika sering melihat ibu bapa, adik-beradik dan saudara-maranya yang berhutang untuk memenuhi kehendak diri.

 

2. Pengaruh persekitaran

Rakan sebaya dan juga persekitaran atau situasi di sekeliling mereka menjadikan hutang sebagai gaya hidup. Keadaan bertambah buruk jika ada rakan yang turut memberi galakan berhutang bagi membeli barangan dikehendaki seperti kereta, kononnya untuk memastikan diri sama taraf dengan kerjaya masing-masing.

 

3. Promosi

Sesetengah institusi kewangan dan syarikat tertentu menyasarkan golongan muda dan berkerjaya sebagai pelanggan. Promosi secara besar-besaran dijalankan bagi menarik perhatian golongan muda membeli menggunakan kad kredit atau cara berhutang yang lain. Pelbagai taktik digunakan oleh jurujual dalam merencanakan promosi ini sebagai strategi menarik golongan muda menggunakan kad kredit.

 

4. Pujian dan perasaan

Darah muda, memang suka pujian dan terdorong untuk kelihatan anggun, cantik serta bergaya selaras dengan usia muda dan kerjaya. Disebabkan itu, eksekutif muda wanita dan lelaki berlumba-lumba membeli barangan berjenama yang bukan murah harganya.

 

Bagi mereka, ‘biar papa asal bergaya’ bagi menjaga penampilan untuk kekal menarik. Akhirnya, individu yang suka berbelanja tanpa mengikut kemampuan terjebak di dalam kancah hutang yang serius.

 

5. Kehabisan wang atau ‘pokai’

Disebabkan kehendak hati untuk tampak mewah, mereka sanggup berhutang walaupun sedar diri kurang berkemampuan. Bertambah teruk apabila jumlah gaji yang diperoleh setiap bulan tidak mencukupi.

 

Untuk menyelesaikan masalah hutang yang ditanggung, wujud gejala ‘gali lubang, tutup lubang’, iaitu mencipta hutang baru untuk membayar hutang lama.

 

Tidak salah memilih gaya hidup yang dikehendaki, tetapi ukurlah baju di badan sendiri, jalan mana yang hendak anda lalui sama ada jalan menuju kebahagiaan atau kesengsaraan.

 

Namun begitu, ada juga mereka ini yang berhutang disebabkan terpaksa seperti ditimpa kemalangan, membayar perubatan diri serta keluarga, bencana alam dan sebagainya.

 

 

S: Apakah jenis hutang yang biasa menghantui golongan muda?

 

J: Ada dua jenis pinjaman iaitu bercagar dan tidak bercagar. Pinjaman bercagar adalah pinjaman kenderaan atau sewa beli kereta.

 

Pinjaman tidak bercagar adalah seperti kad kredit dan pinjaman peribadi. Kebanyakan hutang dalam kalangan generasi muda adalah pinjaman tidak bercagar. Mengikut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman sewa beli adalah penyumbang terbesar kepada kadar kebankrapan.

 

 

S: Bagaimanakah cara pengurusan hutang yang betul?

 

J: Cara atau kaedah berhutang yang betul ialah dengan membuat hutang yang produktif. Misalnya, hutang untuk melanjutkan pelajaran, membeli rumah atau hartanah dan modal perniagaan.

 

Jumlah yang dipinjam juga sangat penting bagi memastikan seseorang itu mampu membuat bayaran balik. Penghutang disarankan membuat bayaran ansuran pinjaman tidak melebihi 40 peratus daripada gaji bersih setiap bulan.

 

Selain itu, pembayaran semula hutang mengikut jadual yang ditetapkan membantu mengelakkan penalti dan caj tambahan lain.

 

Sekiranya kita menghadapi masalah dalam pembayaran balik pinjaman, segeralah berjumpa dengan institusi kewangan dan berbincang. Berdiam atau melarikan diri bukan satu penyelesaian yang baik.

 

 

S: Bagaimana cara untuk mengelakkan diri daripada berhutang?

 

J: Setiap individu tidak dapat mengelakkan diri daripada berhutang, bezanya adalah alasan untuk berhutang. Jika kita bijak dalam menguruskan hutang pasti ia tidak memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan keluarga.

 

Sebaiknya, kita perlu bijak membezakan keperluan dan kehendak, merancang pembelian serta elakkan pembelian secara mendadak.

 

Amalkan gaya hidup sederhana dan sentiasa beringat untuk menabung sebahagian daripada pendapatan bagi menghadapi situasi kecemasan seperi sakit, hilang pekerjaan dan sebagainya.

 

 

S: Apakah peranan AKPK bagi membantu generasi muda mendapatkan ilmu mengenai pengurusan kewangan dengan lebih mendalam?

 

J: AKPK ada membuat program khusus bagi mendekati golongan muda dan menerapkan pengetahuan pengurusan kewangan.

 

Antaranya:

•Program POWER! – Pengurusan wang ringgit golongan dewasa muda.

•Modul Pengurusan Kewangan Peribadi yang diluluskan oleh MQA sebagai salah satu mata pelajaran elektif yang ditawarkan kepada pelajar.

•Program pengurusan kewangan berhemat melalui modul PLKN.

•Menawarkan sesi kaunseling kewangan bagi mendapatkan khidmat nasihat.